November 30, 2011

Kepimpinan Mahasiswa; Antara Rela Dan Terpaksa


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Kali ini entri yang agak "simple". Persoalannya, jika ditanya pada sesetengah mahasiswa dan siswi tentang keterlibatan mereka didalam kepimpinan mahasiswa kampus, adakah dengan rela atau terpaksa ?

ataukah kerana ilmu yang mereka imani.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….” (Surah al-Baqarah : Ayat 30)

Kepimpinan Mahasiswa : antara rela dan terpaksa. Tajuk ini dikecilkan fokus perbincangannya kepada kepimpinan mahasiswa. Mungkin akan ada yang bertanya dan tertanya, kenapa hanya kepimpinan mahasiswa tuntutan rela dan terpaksa dibongkar permasalahan. Kenapa tidak kepimpinan secara umum?

Baik, secara mudahnya jika diperhatikan kepada sasaran pembaca artikel ini, maka jawapan mampu diperolehi. Justeru adalah lebih tuntas kiranya fokus kepimpinan tidak dicapahkan perbincangannya untuk memberikan suatu cetusan idea dan sekadar sebagai ice breaking kepada pembaca dalam ruang lingkup kecil dan menumpu.

Kepimpinan mahasiswa diertikan sebagai kepimpinan yang diasaskan oleh rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan sebenar. Apa pun yang mahu disampaikan dalam artikel kali ini adalah kepimpinan mahasiswa yang sifatnya adalah sukarela. Sekalipun ianya terpaksa tetapi tuntutan tanggungjawab seolah memaksa sesiapa sahaja yang dipundakkan amanah untuk melaksanakannya.

Justeru, didatangkan idea cadangan untuk sebagai peringatan kepada semua pimpinan mahasiswa dikampus. Harapannya keempat-empat idea cadangan ini mampu mengimbangkan antara kerelaan untuk memimpin dan keterpaksaan samada atas desakan kepimpinan muhupun desakan persekitaran. Alang-alang berjuang biarlah diredai Tuhan.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Surah al-Ahzab, ayat 36)

Ikhlas dalam bekerja

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Anfal, ayat 27)


Keikhlasan amat penting dalam menjalankan taklifan kepimpinan. Tambah-tambah lagi kepimpinan mahasiswa yang telah diketahui situasi getirnya. Menjadi kepimpinan mahasiswa seolah memaksa diri untuk membahagikan kepentingan diri dengan orang ramai. Masa perlu dibahagikan, Wang saku bulanan juga perlu dikorbankan dan keseronokan serta privacy diri langsung diketepikan untuk memastikan amanah taklifan dilunaskan secara baik.

Semua itu memerlukan kata kunci dalaman yang namanya adalah keikhlasan. Mana mungkin pengorbanan yang ditagih tersebut mampu untuk dilaksanakan sekiranya tidak dipasakkan dalam hati Al-Ikhlas. Justeru, bicara atas nama keikhlasan tidak perlu dipanjangkan perbincangannya tetapi ia seharusnya dipasakkan dan diukir kemas di hati.

Hati-hati dalam melangkah dan meniti lorong berduri kepimpinan. Jangan sampai susah payah dan pengorbanan yang dibuat langsung ‘haba’an mansura’ kerana tidak didasarkan kepada keikhlasan. Keikhlasan juga adalah ubat dan penawar kepada keletihan kerana keyakinan bahawa setiap pekerjaan yang dilaksankan akan diganjar pahala oleh Allah.

Tinggal lagi kalaulah manusia juga memberikan penghargaan dan tasyrifan, maka hati-hati juga perlu diseiringkan dalam setiap langkah aturan. Andai celaan dan cacian yang dihidangkan, sayugia juga diingat supaya sabar dan teruskan perjuangan. Yang paling penting ikhlas perlu mengepalai setiap langkah dan kerja buat kita seharian kerana tugas kepimpinan ini akan semestinya dilihat orang dan diperkatakan samada positif ataupun negetif. Ikhlaskan niat.


Cipta Pengaruh

Dua kosa kata ini barangkali memberikan persepsi yang pelbagai dalam benak pembaca. Yang mahu saya maksudkan dengan dua kosa kata ini adalah bagaimana setiap pemimpin perlu membina pengaruh dan melahirkan pelapis. Pengaruh perlu dibina bukan untuk tujuan peribadi tetapi demi kolektif kepimpinan yang diperjuangkan. Dengan kata lain, pengaruh perlu dibina untuk memastikan mahasiswa/i disatukan dlam sebuah bahtera yang selamat untuk menuju akhirat Allah Subhanahu Wata’ala.

Maksudnya, setiap pemimpin tidak hanya bekerja sendirian. Pemimpin yang baik akan membina team work atau group binding yang mantap. Sekirannya seorang pemimpin itu hebat dan punyai pakej lengkap sebagai pemimpin, ia hanyalah sebagai bonus dalam dunia kepimpinan. Yang paling penting adalah kebolehan untuk membina pengaruh dan membawa bersama ahli untuk bekerja bersama dalam satu pasukan.

Sabda nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin, dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang lelaki itu pemimpin kepada ahlinya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah suaminya dan dia ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya.”

(Muttafaqun ‘Alaihi).


Hadis tersebut menjelaskan bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan dipersoalkan oleh Allah tentang amanah yang dipundakkan. Cuma yang membezakan antara satu sama lain hanyalah posisi dan kebolehan. Justeru, pemimpin bukanlah perlu hanya memastikan dirinya sahaja yang memimpin dan menjalankan tugas kepimpinan tetapi perlu juga untuk membahagikan tugas kepimpinan pada yang selayaknya.

Maksudnya, pemimpinan sebenanrnya perlu bijak dalam membagikan tugas kepimpinan dengan pecahan-pecahan yang selayaknya. Kiranya pepimpin hanya hebat sendiri dengan meninggalkan orang lain, maka ia belum layak digelarkan kepimpinan. Bina pengaruh, lahirkan pelapis dan yang paling mustahak pastikan kepimpinan dijelamakan dalam bentuk yang kolektif.

Ramai sekali pemimpin yang dilahirkan kerana jawatan. Dengan mudahnya, seseorang pemimpin itu dianggap sebagai pemimpin kerana jawatan yang diberikan. Barangkali ada yang sedar bahawa tidak kurang juga pemimpin yang dihasilkan dengan kuasa pengaruh. Walau tidak berjawatan namun akan dirujuki sebagai pemimpin dalam menyelesaikan apa jua permasalahan. Justeru sama ada anda pemimpin lantikan secara rasmi berjawatan atau hanyalah sekadar pemimpin kampungan yang lahir daripada pengaruh ramai, yang paling penting keduanya-duanya perlu seiring dan bergandingan.

Tidak lengkap pemimpin berjawatan tanpa pengaruh ahli. Juga tidak sempurna pemimpin yang terbina dengan pengaruh ramai tanpa kuasa dan panduan. Justeru bina pengaruh dan pastikan pelapis juga turut dihasilkan.


Tenang dalam bertindak

Barangkali kosa kata ini sudah diketahui umum. Tambah lagi ia adalah sifat baik yang perlu ada kepada setiap pemimpin. Pastikan kita sentiasa mempamerkan ketenangan dan lematangan ketika berhadapan dengan ahli. Jangan sekali-kali menggunakan pendekatan emosional dan terburu-buru. Pandu minda dan hati serta ekpresikan wajah dan perilaku dengan teratur dan tenang.

Said Hawwa dalam kitabnya Jundullah, Tanziman ada menggariskan panduan kepimpinan dalam kosa kata tenang dalam bertindak sebagaimana berikut :

“ Sesiapa yang terburu-buru (isti’jal qabla awanihi), maka dia akan mengalami kerugian (u’qiba bihirmanihi)”

Justeru, pendekatan yang paling baik bagi seorang pemimpin adalah bertenang dalam setiap tindakan dan keputusan. Pastikan diri mampu dikawal agar tidak mengambil pendekatan agresif yang hanya merugikan kebolehan diri dan mencacatkan bakat kepimpinan. Tindakan terburu-buru juga akan menampakkan kebodohan pemimpin disamping akan merugikan sokongan pengaruh. Oleh itu, bertindaklah secara rasional da tenang.

Jauhi Ta'asub



Kepimpinan yang bertunjangkan tradisi ilmu sememangnya berhajat kepada latar belakang akademik yang kukuh. Oleh kerana ilmu sahaja yang memiliki momentum untuk menguruskan perubahan, seharusnya mahasiswa menguasai bidang ilmu sebagai jaminan untuk menjadi pemimpin yang baik. Bagaimana mungkin individu yang buta sejarah juga isu semasa mampu menjadi pemimpin yang berkaliber melainkan apabila beliau dipilih atas dasar ketaksuban dan bukannya ilmu? Bukankah seorang pemimpin yang baik wajar memiliki kekuatan intelektual yang bukan kepalang bagi memudahkannya membuat keputusan? Secara deduksinya akademik tidak mungkin dapat dinafikan kepentingannya dalam melahirkan seorang pemimpin yang mampu memimpin perubahan.


Barangkali ada yang melihat serta berpendapat. Siapa penulis dalam memperkatakan soal kepimpinan. Apatah lagi tulisan ini berbaur kritikan kepada krisis nilai yang berlaku dalam dunia kepimpinan mahasiswa. Apa pun pohon maaf atas butir kalam yang barangkali tidak sesuai untuk penulis bawahan. Cuma satu harapan agar yang baik dapat sama-sama dimanfaatkan dan sekali lagi penegasan bahawa kalam ini bukanlah tuduhan mahupun kritikan bertujuan menjatuhkan aib mana-mana pimpinan tetapi ia hanyalah sekadar peringatan untuk diri dan semua agar kita kembali mapan bersama lapangan kampus dan masyarakat,untuk membawa izzah mahasiswa.

Ku hanya mampu tersenyum

Tika fajar singsing sinar

Salahkah aku andai

Rintik tiba-tiba menghujan

Golongan mahasiswa sememangnya punyai pelbagai potensi diri yang perlu digilap agar mereka mampu menjadi ejen pengubah masyarakat. Menyedari hakikat ini, kepimpinan mahasiswa di alam kampus seharusnya diperkasakan bagi memastikan golongan intelektual ini tidak tersisih dari perhatian masyarakat atau terperuk di dewan kuliah semata. Semoga dengan kecemerlangan akademik yang sememangnya menjadi prasyarat sebelum bergelar seorang graduan ini kelompok mahasiswa dapat menjadi penerus kepada arus kepimpinan negara demi menjadi sumbu yang menyalakan obor kegemilangan ummah dan seterusnya buat islam