November 26, 2011

Mahasiswa Islam : part 1


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Pertamanya marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t atas segala nikmat dan kurniaannya, Iman jua Islam masih diberikan, utk kita usahakan yang terbaik dan sentiasa ubudiyah kepada-NYA, selawat dan salam keatas junjungan besar Muhammad s.a.w, keluarga baginda, para sahabat, tabi'tabien, seterusnya penyambung mata rantai perjuangan menegakkan islam didalam diri dan diluar daripada diri kita.

Kali ini penulis ingin membawa sedikit pendedahan kepada saudara dan saudari,agar yang baiknya kita boleh ambil dan pergunakan diluarsana.

Selepas berlakunya penggulingan Presiden kuku besi iaitu Presiden Zine El-Abidine Ben Ali di Tunisia melalui Revolusi, dunia sekali lagi menyaksikan penggulingan ‘Firaun Mesir Moden’ iaitu Presiden Hosni Mubarak oleh gelombang kebangkitan rakyat mesir melalui perhimpunan 18 hari di dataran Tahrir. Turunnya pemerintahan yang dianngap sebagai ‘dinasor’ tersebut sekali gus telah mengubah segalanya dari segi kepimpinan dan juga pentadbiran di Negara berkenaan. Apa yang menarik perhatian penulis ialah sejumlah besar golongan yang menuntut perubahan adalah daripada mereka yang berada dalam golongan muda dan mahasiswa.




Apabila membicarakan soal mahasiswa, terdapat banyak aspek dan dimensi perbicaraan yang boleh kita bincangkan. Adalah satu hal yang tidak perlu diterangkan lagi dan tidak perlu diulas panjang lebar bahawa kelompok mahasiswa adalah merupakan kelompok terpenting dalam sesebuah masyarakat. Sejarah telah banyak melakar contoh bagaimana kelompok mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan revolusi. Apa yang telah berlaku dalam sejarah telah membuktikan bahawa peranan mahasiswa dalam sebuah masyarakat ataupun negara bukanlah peranan yang picisan, tetapi adalah merupakan peranan yang sangat signifikan.mahasiswa islam itu juga perlu tahu akan apa yang akan dipertanggungjawabkannya. Namun, merenungi kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali r.a :

:“Bukanlah orang muda yang hanya mengatakan: ‘Ayahku begini!’, tetapi orang muda adalah yang mengatakan: ‘Ini aku!’”,

Bukanlah sejarah itu yang ingin gila-gila dinostalgiakan, tetapi sekadar menyemangatinya dan meneladaninya agar dapat meniupkan semangat mahasiswa untuk membina dan melakar sejarah tersendiri dan mampu bangun bersama semua mahasiswa yang mana agenda mereka hampir sama..

Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka, Bersatu padulah segenap baka, Membela hak keadilan pusaka.

- Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Kongres Kebangsaan PKMM



Bait-bait pantun yang tersohor tersebut merupakan satu seruan oleh tokoh pejuang kemerdekaan negara yang terkenal, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang mengandungi maksud yang begitu mendalam maknanya. Kata-kata tersebut mengajak anak muda, khususnya mahasiswa, untuk bangkit daripada belenggu kongkongan dan memerdekakan jiwa daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar budaya dan jatidiri anak bangsa. Jatidiri bangsa tempatan, tidak lain dan tidak bukan, adalah jatidiri seorang Muslim yang sejati.

Pada malam gerimis itu aku bilang padamu “Kalau kau mahu menyelami jiwa Melayu, kau perlu tahu al-Quran dan Sufisme” di situlah intijiwanya.
- Kemala, Kuala Lumpur, 1982.

Justeru, seorang mahasiswa Islam perlu memainkan peranannya dengan sebenar-benar peranan. Seorang mahasiswa hadir ke universiti atau ke politeknik khususnya ipt untuk menuntut, menguasai dan mengembangkan ilmu. Itu antara peranan utama mahasiswa. Namun, noktahnya bukan di situ. Adalah sesuatu yang sangat malang apabila peranan mahasiswa dengan potensinya sebagai generasi perubah itu tersekat, sehingga kini mewujudkan fenomena 3K (kolej, kuliah, kantin) yang begitu menguasai dunia mahasiswa sehingga mereka hilang segala kekuatan idealisme,intelektualisme dan aktivisme.

Mahasiswa perlu kembali memperkasa peranan mereka dalam membina jiwa merdeka anak muda kini. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemikiran Islam dari Algeria, Malek Bin Nabi tentang perlunya membina ‘istiqlālul-‘aql ba’da istiqlālul-watan’. Persoalan yang sudah sekian lama timbul adalah adakah masyarakat di negara ini sudah betul-betul merdeka jiwa dan akalnya? Adakah masyarakat sudah benar-benar merdeka, yakni merdeka daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar jatidiri mereka sebagai masyarakat Islam?

Tentu sekali tidak. Masyarakat masih lagi memandang kepada masyarakat Barat sebagai kelompok yang superior. Produk-produk yang berjenama popular yang asalnya daripada Barat dilihat sebagai lebih berkualiti berbanding produk keluaran tempatan atau negara Islam yang lain. Sistem dan budaya di negara lain sering dijadikan contoh untuk diikuti di negara ini. Berapa banyakkah rancangan-rancangan televisyen di negara ini yang merupakan carbon copy kepada rancangan-rancangan di Barat? Mengapakah pula pembelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris?

Apabila masyarakat masih terbelenggu dalam satu sistem dan gaya hidup masyarakat Barat, ia akan terdidik untuk menjadi orang yang seperti mereka. Sistem pendidikan yang diaplikasi kini datangnya daripada Barat, dan adalah merupakan satu sistem pendidikan yang sifatnya eksklusif sedangkan sistem pendidikan Islam adalah bersifat inklusif. Hasilnya, lahirlah generasi yang dangkal pemikirannya dan tidak mampu melihat tasawwur Islam dengan sebenarnya dan sepenuhnya.

“Men are born ignorant, not stupid. They are made stupid by the education.”
- Bertrand Russell

Dalam konteks itulah, mahasiswa Islam mempunyai peranan yang sangat penting sebagai penggerak dalam sebuah organisasi. Sebagai kelompok yang paling berpengaruh dalam masyarakat, mahasiswa perlu keluar daripada kongkongan belenggu gaya hidup yang mewujudkan sifat mati rasa dan jiwa santai. Di samping menumpukan perhatian untuk mencapai kecemerlangan akademik, yang seandainya dilakukan dengan niat dan kaedah yang betul adalah merupakan salah satu daripada cabang ibadah dalam Islam, mahasiswa juga perlu memahami peranan dan tanggungjawab mereka yang lebih fundamental sifatnya. Mahasiswa Islam perlu melihat peranan mereka yang cukup besar dan penting khususnya dalam dimensi misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr.

Bagi memahami tuntutan misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr dalam kehidupan seorang mahasiswa Islam, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami matlamat kehidupan seorang manusia itu sendiri. Manusia diciptakan dengan tujuan dan matlamat, kerana mustahil bagi Allah untuk mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Justeru, matlamat kepada penciptaan manusia itu sendiri pastinya adalah merupakan perkara penting yang perlu direalisasikan oleh para mahasiswa Islam.

Seandainya seorang mahasiswa Islam tidak menjalankan peranannya yang utama sebagai seorang manusia, maka pastinya manusiawi itu akan tercabut daripada jiwa seorang mahasiswa.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” (Adz-Dzāriyāt: ayat 56-58)

Wallahu a'lam 

Bersambung..