December 4, 2011

Pemuda Ketakutan.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, semalam selesai saja satu lagi tajuk tulisan penulis, kali ini sebuah kisah ingin dipaparkan untuk memperlihatkan akan keindahan iman itu jika kita jaga dengan sebaiknya, diceritakan kini seorang pemuda yang hebat, bagi penulis, terus terang saya melabelkan beliau ini adalah pemuda yang berjiwa besar.

Pernahkah kita mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.

Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.

Lalu thalabah berkata dengan ketakutan "A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! 

Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."

Dalam keadaan ketakutannya itu menyebabkan dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan perbuatannya yang menyebabkan dosa itu.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.



Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka."

Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat kerana perbuatannya tadi itu.

Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah”

"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."




Lalu Rasulullah s.a.w berkata, 


"wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Kemudian,tidak berapa lama dalam masa yang ALLAH telah janjikan untuknya, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Dalam keadaan rasulullah hendak berjalan menrapati kubur Tha'labah, Rasulullah mendapati ianya sukar untuk berjalan dan terasa dihimpit antara satu sama lain,para sahabat ketika itu kehairanan melihat Rasulullah yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"

Rasulullah menjawab, 

"kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?

Maka disini penulis ingin membawa semua yang mengunjung blog ini agar kita dapat muhasabah kembali, meratapi akan banyaknya dosa yang sengaja dan tidak sengaja kita lakukan,dan sejauh mana kita mengharap ampunanNYA, terutama pemuda yang ada dimasa kini, agar kita kembali menginsafi kesalahan kita, kerna seorang pemimpin islam itu, ciri yang paling utama jua adalah sentiasa bertaubat pada ALLAH s.w.t kemudian setelah itu, bangkitlah mencari roh semangat hassan albanna,sultan muhammad al fateh, seterusnya semangat insan yang mulia Rasulullah untuk kita kekal mapan dibumi Allah.

Allahu a'lam