July 9, 2012

By Allah, Uhibbukum.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum, buat semua para pembaca blog sama ada anda muslim or non muslim, saya hanya ingin menyampaikan warkah indah buat anda ,syukran jazilan khatiran buat para pembaca yang setia juga..

Salam ukhuwaah Fillah,

Hanya cintaMu aku harapkan, buat bekalan diperjalanan yang panjan, hanya kasihMu aku dambakan, penerang jalan dikegelapan kesunyian.

“Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah, diantara keduanya ialah orang yang paling besar cintanya kepada saudaranya.”
[ HR. Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]


Rasa cinta adalah fitrah manusia. Maka cinta itu wujud pada diri manusia lantas kasih mengasihi antara satu sama lain yang Allah telah wujudkan.

Alhamdulillah. Kerananya, percintaan adalah rentangan waktu kehidupan manusia yang akan mereka lalui dengan keindahan dan haru biru. Cinta yang tulus, insyaAllah akan menyelamatkan manusia dari api neraka yang maha dahsyat panasnya, dan cinta yang sebaliknya, yang disulami nafsu dengan permainan dunia, hanya akan menjauhkan dirinya dari syurga yang maha indah. Oleh itu bercintalah dengan apa yang Allah perintahkan supaya kamu berbahagia didunia dan akhirat.


Cinta tulus lagi mulus, terbesar dan hakiki adalah cinta kepada Allah s.w.t , Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah Saw. melalui Anas ra.,

“Ada tiga perkara yang barangsiapa dalam dirinya terdapat ketiga perkara itu, dia pasti merasakan manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain; mencintai seseorang tiada lain hanya kerana Allah; dan tidak ingin kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah sebagaimana dia tidak ingin kalau dicampakkan ke dalam api.”

Sesungguhnya persaudaraan kita merupakan buah dari ketinggian akhlak, dan tafarruq (perselisihan) kita merupakan akibat dari rendahnya akhlak. Akhlak yang mulia membuahkan rasa saling cinta, saling sayang, dan saling memberikan manfaat. Kerana itu, cinta melahirkan ukhuwah yang dibina landasannya kalimat tauhid La ilaha illallah. Ukhuwah yang telah digambarkan secara mengharukan oleh Bilal, Amar dan Zaid, atau Umar, dan Uthman, yang bersanding dan bercinta kerana Allah. Kasih sayang diantara mereka merupakan gambaran janin ukhuwah yang dikandung dalam perut iman, dan terlahir dari ibu yang bernama iman, apatah lagi kisah cinta kerana Allah antara saudara muslim abu darda dan salman al farisi serta cinta langit ilahi saidina ali dan fatimah az zahra

Ukhuwah bererti bersatunya hati-hati yang ruhnya terikat dengan ikatan akidah. Kerananya, persaudaraan adalah bentuk keimanan yang terikat dengan akidah yang amat kuat hingga kekuatannya itu tidak mampu dicerai beraikan. Sementara perpecahannya adalah gambaran kekufuran, yang menempatkan keimanan dan kasih sayang di tempat sampah. Oleh kerana itu, manusia yang benar fikrahnya adalah manusia yang melihat saudaranya lebih utama dibanding dirinya sendiri. Jika perkara ini terjadi, ukhuwah akan terasa sangat indah, nikmat, dan manis.

Persaudaraan dan saling mencintai kerana Allah adalah salah satu ibadah yang paling utama dalam agama kita. Siapapun yang berupaya mewujudkannya, tiada perkara lain baginya kecuali syurga yang maha indah lagi dasyat.

Rasulullah Saw bersabda,

“Barangsiapa bersaudara dengan seseorang kerana Allah, maka Allah mengangkatnya satu darjat di syurga, yang tidak didapatnya dengan sesuatu amalan lainnya”.

Ibnu Jarir pun meriwayatkan sabda Rasulullah Saw. dari Ibnu ‘Abbas ra., ia berkata,


“Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah, membela seseorang kerana Allah, dan memusuhi seseorang kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan dari Allah boleh diperoleh dengan perkara tersebut. Seorang hamba tidak akan menemukan nikmatnya iman, sekalipun banyak sholat dan shaum, sehingga dia bersikap demikian. Persahabatan diantara manusia pada umumnya didasarkan atas kepentingan dunia, namun perkara itu tidak berguna sedikitpun bagi mereka.”

Cinta seorang Mukmin adalah kekuatan. Ia bagaikan perekat yang mengikat batu bata individu Muslim dalam sebuah bangunan yang kukuh dan tidak mudah roboh. Allah Swt. Berfirman;



” Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara.” Surah Al-Hujurat : 10

Sementara itu, Rasulullah Saw bersabda, “Mukmin yang satu terhadap Mukmin yang lain itu bagaikan bangunan yang mengikat antara sebagian dengan sebagian yang lainnya.”
[ HR. Muttafaqun ‘Alaih ]

Persaudaraan Islam bukanlah suatu permasalahan sampingan dalam Islam, tetapi ia menjadi salah satu prinsip dasar yang menyertai syahadah (persaksian) terhadap keesaan Allah dan kesaksian terhadap kerasulan Muhammad Saw.

Persaudaraan merupakan buah dan konsekuensi keimanan yang amat dan sangat indah. Kerana itu, kita harus sama-sama yakin bahawa keindahanNya qadim. KeagunganNya tinggi. Kekuasaan dan penguasaanNya Maha Dahsyat. KeindahanNya berpadu dengan kemuliaan. KeagunganNya berpadu dengan keluhuran. KebesaranNya tidak pernah berakhir.

Maka akhirnya, hingga suatu saat kau telah mencintai benar Allah s.w.t, lalu Allah menyampaikan kepadamu bidadari dunia menemanimu untuk sampai pada cinta-NYA

KeindahanNya pesona hati. KeagunganNya meningkatkan cinta. Sungguh, tiada cinta yang hakiki kecuali cintaNya kepada kita sebagai makhlukNya, dan cinta kita kepadaNya. Adakah kita merasakan semuanya? Moga-moga…

Ya Allah, tiada lain yang kami pinta, kecuali cintaMU yang kekal abadi, tiada lain yang kami damba, melainkan kasihMU yang menggunung tinggi, suburkanlah baja keimanan dalam wadah hati kami, agar dapat kami racun cinta dunia yang mencengkam hati dan Kau kirimkan aku bunga yang menyampaikan harumannya pada cinta-Mu.


Allahu'alam.