August 9, 2012

Behind the scenes of Ramadhan..


Assalamualaikum w.b.t, dan salam sejahtera buat kalian..

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi atas segala limpahan nikmat yang telah diberikan sama ada kita memintanya atau pun tidak , tetapi DIA tetap tahu apa yang diperlukan oleh hambanya, maka nikmat manakah dari tuhanmu yang hendak kau dustakan..selawat dan salam ke atas junjungan besar s.a.w.

Syukur kita tautkan pada Allah, atas keizinan-NYA kita sampai pada sepuluh yang terakhir ramadhan , suasana ramadhan kini pasti akan dirindui oleh orang-orang yang tidak mensia-siakan ramadhan, yang sangat mencintai ramadhan kerana dengan ramadhan itu, semakin hari semakin tinggi tangga kecintaannya kepada Allah s.w.t

Ramadhan, Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi, Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih, Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar, Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa, Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.itulah rohnya ramadhan..


Puasa banyak mengarajar kita pelbagai erti dan hikmah, puasa juga yang mengajar erti lapar dahaga bukan itu nilaian utama di sisi Tuhan, lebih daripada itu hakikat sebenar berlapar dahaga adalah kesabaran dan tarbiyyah rohaniyyah. Ramadhan bukan sekadar madrasah bahkan sebagai murobbi yang mendorong walaupun ketika ketiadaan Ramadhan nanti. Sikap dan kesungguhan adalah pemula kepada tarbiyyah
[ didikan ] ini.

Setiap inci perjalanan Ramadhan adalah ruang yang berharga, setiap nafas dibulan ramadhan itu bernilai, dan setiap incinya juga adalah peluang yang amat bermakna. Itu semua jika ia pandai dinilai dan difaedahkan oleh anda. Kerna itu, ruang dan peluang yang sebegini hebat dan ekslusif khas untuk anda. Tuhan tidak pernah kedekut dengan ganjaran namun manusia yang bakhil mencari tawaran. Berlumba-lumba dalam kebaikan adalah jalan keberkatan.

Bagaimana puasa ramadhan anda kini..? disebalik tabir ramadhan anda itu hanya anda dan Allah s.w.t yang tahu, jatuh atau bangun, meningkat atau menurun, bertambah atau berkurang dan seumpamanya segala-galanya didalam kisahmu ramadhan.

Disebalik tabir puasa adalah sungguh besar tapak pengukuhannya kerana penghasilan daripada tuaian bulan Ramadhan akan digunapakai sepanjang 11 bulan yang lain. Bekalan itu mestilah kukuh dan selamat kerana ia bakal disimpan dalam tempoh yang lama sehingga menemui Ramadahan semula untuk dicas. Tuaian itu adalah Taqwa. Orang Mukmin yang berpuasa akan menemui Taqwa jika dia benar-benar berpuasa. Taqwa itu takut dan berhati-hati. Lalu puasa itu menghasilkan takut (kepada Pencipta), puasa juga menghasilkan sifat berhati-hati (terhadap dosa). Kalaulah kedua sifat itu bisa didakap semasa keberadaan Ramadhan, maka puasa kita adalah Taqwa yang sejati.

Jangan ucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan dengan air mata yang menipu, tetapi katakan padanya 'bahawa panjang umur kitakan bertemu semula'. Jangan jemu untuk duduk di dalam taman Ramadhan kerana disuruh berlapar dan dahaga, kerana lapar itu suatu nikmat dan ganjaran.

Sekiranya kita menganggap Ramadhan pada kali ini merupakan satu institusi pendidikan kepada kita, maka wajar kita mencari pekerjaan selepas bergraduan daripada institusi Ramadhan ini untuk menggunakan apa yang kita telah pelajari.


Sekiranya kita menganggap Ramadhan merupakan suatu tempoh yang kita lalui untuk menjadi seorang yang lebih baik, maka kita wajar persoalkan kenapa kita tidak boleh menjadi diri kita seperti di bulan Ramadhan ini pada bulan-bulan yang lain? Sewajarnya, kita meletakkan satu azam ketika melangkah keluar dari Ramadhan pada tahun ini. Azam perlu diiringi dengan tekad dan usaha. Kita perlu berazam agar kita terus terdorong dengan motivasi hasil daripada Ramadhan kali ini.

Mengekalkan momentum Ramadhan seperti kem bina semangat bagi kita. Selepas 11 bulan mengharungi bulan-bulan tanpa Ramadhan, kita bertemu Ramadhan seterusnya untuk menguatkan, malah mengukuhkan lagi apa yang telah kita pelajari. Ramadhan juga menjadi teguran dan peringatan semula setelah tidak bertemu dengannya setelah sekian lama. Momentum yang baik akan memberikan lonjakan yang baik dan berpanjangan.

Namun, lumrah bagi mereka yang memiliki momentum yang baik bukanlah dengan hanya melangkah keluar Ramadhan bersahaja dan menyambut Syawal semeriah-meriahnya. Momentum yang ingin dicipta ini memerlukan faktor-faktor tertentu yang menjadi penukul bagi melantunkan usaha kita

Ramadhan bukanlah tetamu walaupun 'dialah' yang datang dan pergi, tetapi kitalah yang menjadi tetamunya kerana dijemput bersinggah ke dalamnya. Kita diberi peluang mengutip isinya yang sebanyak-banyaknya. Mereka yang bijak pandai adalah yang menggunakan peluang sebaiknya kerana Ramadhan yang datang belum tentu datang lagi kepadanya.


Kisah Lailatul Qadar juga bukan syarat utama untuk meningkatkan amalan sehingga terlupa akan matlamat pengabdian kepada Tuhan. Ganjaran Lailatul Qadar sekadar motivasi dan pendorong kepada kesungguhan untuk mencari keredhaan Tuhan sekaligus menjadi hadiah terakhir selain dari pelepasan dari siksa api neraka. Dia tidak mahu manusia berlumba mencari ganjaran, tetapi mahukan mereka yang meraih keredhaan-Nya. Mungkin orang yang memilih hari dalam mencari Lailatul Qadar tidak akan menemuinya tetapi yang mencari Tuhannya besar kemungkinan akan dikurniakan.

Sebelum Ramadhan yang ini berlalu pergi, gunalah peluang ini sebaiknya untuk peningkatan kualiti amalan baki hanya tinggal beberapa hari lagi. Ramadhan bulan terbaik perbaiki diri kerana ia dijagai daripada sebarang anasir buruk. Syaitan dibelenggu dan nafsu terpaksa kurang bekerja kerana dikongkong dengan kelaparan. Lalu masa inilah sesuai untuk berubah kepada kebaikan, Sebelum Ramadhan pergi, carilah semua itu kerana Ramadhan itu adalah Rahsia yang terlalu Agung dan datang dengan kepelbagaian rahsia dan ganjaran yang sungguh lumayan.