August 30, 2012

Eid Mubarak with Independence.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk.

RAYA yang sebenar adalah apabila insan dapat meningkatkan dirinya dari pelbagai aspek selepas ramadhan menjadi hamba bertuhankan Allah Penguasa seluruh Alam.

Merdeka ! Laungan yang acap kali didengari bila 'time mood' merdeka. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kemerdekaan buat malaysia ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia, kalau ada yang kata “majulah sangat” saya pun sokong. Selamat Hari Raya AidilFitri juga dikesempatan ini dari blog mujahid siswa. Alhamdulillah, Raya tahun ini jatuh pada musim kemerdekaan, setelah mengharungi bahtera ramadhan selama sebulan. Satu gandingan Tajuk yang saya cuba bawakan kepada anda iaitu Rayaku Merdeka

Kisah Raya kita tidak habis lagi, masih ada lagi kuih raya rasanya yang masih tersimpan, dengan puasa 6, dan kunjung mengunjung serta macam-macam lagi.

Dalam kehibaan kita melambai-lambai ramadan yang sudah berangkat pergi meninggalkan kita, mudah-mudahan Syawal yang menyapa menggantikan Ramadhan akan menjadi bulan muhasabah dan bulan kemenangan buat kita semua. Secara bahasa, Syawal bererti meningkat atau peningkatan. Bagi mereka yang berpuasa dan beribadah sepanjang Ramadhan kerana iman, maka pada Syawal ini adanya peningkatan kebaikan dalam dirinya. Merekalah orang-orang yang mendapatkan manfaat Ramadhan dan mendapatkan kemenangan. Minal Aidin wal Faizin.

Sedih tatkala melihat Syawal menjadi bulan kecundang keimanan dan hawa nafsu kembali menguasai diri dan boleh kita kaitkan adakah itu kemerdekaan/kemenangan buat kita.?

Ternyata kita hanya menjadi hamba ramadhan sahaja yang tidak merdeka, iaitu orang yang mengingati Allah kala Ramadhan sahaja. Dalam sebuah ceramah Syeikh Al-Qaradhawi mengatakan bahawa :

barangsiapa yang menyembah bulan Ramadhan, sesungguhnya bulan Ramadhan itu telah pergi dan berlalu. Sementara Allah tidak pernah mati dan senantiasa hidup selalu

Di antara orang salaf ada yang berkata:

“Seburuk-buruk orang ialah yang tidak mengenal Allah kecuali pada bulan Ramadhan. Maka jadikanlah diri anda seorang Rabbani, dan jangan menjadi Ramadhani.”

Waspadalah, jangan sampai sikap dan amalan kita seperti perempuan gila yang tinggal di Mekah pada zaman dahulu, namanya Riithah bintu Sa’d. Dia telah memintal benangnya seharian penuh dengan pintalan yang kuat, lalu dia menguraikan kembali pintalannya itu, maksudnya dia merosakkan kembali pintalan yang telah kokoh dibuatnya. Maka Allah SWT berfirman:

”Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali,… (An-Nahl: 92)

Perumpamaan ini menggambarkan situasi sebahagian kita, yang dengan hanya selesai dari Ramadhan begitu cepatnya kembali kepada perbuatan dosa dan maksiat.Padahal selama sebulan penuh dia solat, puasa, tadarus Al Quran, solat malam dengan khusyuk, menangis (kerana mengingati kesalahannya), berdoa, dan merendahkan diri di hadapan Allah.

Dengan itu semua dia telah mngumpulkan kebaikannya, hatta terkadang saat berada pada kemuncak beramalnya berharap diambil nyawanya oleh Allah pada saat yang seperti itu, kerana banyaknya kebaikan yang dia telah dapatkan berupa kelazatan ibadah dan ketaatan. Akan tetapi, sebahagian kita mengurai dan menghapuskan semua itu setelah terbenamnya matahari di hari terakhir bulan Ramadhan.


Itulah kisah ramadhan dan syawal yang mengunjungi kita, akan tiba esok hari pula kemerdekaan menjenguk rakyat Malaysia, untuk memperingati sejarah malaysia merdeka. Dan saya sudi memetik kata-kata Dr Maza yang mana :

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu: ‘history cannot lie’. Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah. Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta. Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau ‘school of thought’ yang kita pegang. Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya

Merdeka..? Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hatta mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar.

Ya. Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.


Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah

“berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”..

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka sama ada secara individu atapun masyarakat.

Walaupun dikatakan negara telah mencapai merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda bukan anak muda sahaja malah pemerintah kita. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya serta kita melihat pemimpin-pemimpin kita dengan korupsi, pembunuhan,skandal dan fitnah memfitnah serta bermacam-macam, lagi. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka, tapi saya berani katakan, merdeka hanya pada namanya..tema tidak beerti apa-apa walaupun janji ditepati, tapi tiada integriti dan amanah tidak bermakna,begitu jua dengan tema sebangsa, senegara, sejiwa.

Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang saya lihat dulu, menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan, banyak cara lain dalam kita hendak memberi kehormatan kepada perwira kita.


Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna.

Perhimpunan-perhimpunan kemerdekaan seperti malam ambang merdeka jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya dan objektifnya. Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.

Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi ?

Ini bermakna : kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama adab bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya. kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui, Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan, menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Wallahu'alam