January 21, 2013

Golongan Baik yang Dibinasakan : Kitab Munthalaq


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Di antara fenomena sejarah terpenting yang berlaku perbezaan penafsiran atau analisanya ialah fenomena gejala sosial, kemunduran dan keruntuhan tamadun yang berlaku selepas kemajuan sains, pembangunan dan kebudayaan yang tinggi. Kejatuhan ini berlaku secara beransur-ansur sehingga boleh membawa kepada kemusnahan secara total yang mengejut oleh satu kuasa luar biasa. Golongan yang kafir dan fasik berlegar-legar di sekitar sebab yang sama dan semuanya andaian bingung terhadap fenomena ini. Tetapi muslim yang sejati hanya mempunyai satu kata putus dan pasti di dalam tafsirannya. Tafsiran itu di ambil dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. dan ianya telah disimpulkan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a. dengan satu perkataan yang jamik tatkala beliau ditanya:

“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?” Beliau menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik.” 

Penguasaan golongan yang zalim ke atas golongan yang baik adalah penyebab kepada segala kegoncangan dan keruntuhan di dunia. Apabila orang zalim atau orang fasik berkuasa dan menjadi pemimpin, dia akan melantik mereka yang jahat dan fasik sepertinya juga untuk mengurus apa-apa urusan. Orang yang fasiq selalunya menjadi tawanan nafsu dan tertutup hatinya. Mereka lalai dan tidak berfikir untuk kebaikan bangsa dan negara mereka.

Mereka juga menjadi hamba kepada kepentingan peribadi. !

Mereka bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Ini mengakibatkan banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan ada potensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa. Tinggallah urusan mentadbir umat dipegang oleh orang yang jahil, fasik, ego dan mementingkan diri sendiri. Natijahnya tersebarlah keruntuhan masyarakat yang membawa kepada kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu kemudiannya.



Allah S.W.T. sangat sayang kepada agama dan kehormatan hambahambaNya. Oleh itu, tatkala ummat ini dikuasai oleh golongan fasiq, Dia memberi masa kepada mereka. Allah S.W.T. suka sekiranya ada sekumpulan hambaNya yang baik segera memperbaiki keadaan tersebut, menentang golongan yang jahat dan menjatuhkan mereka untuk mengembalikan manusia ke pangkal jalan dan mengembalikan kemakmuran dunia.

Apabila kumpulan itu segera merealisasikan usaha ini, Allah menyuruh para malaikat untuk menolong mereka dan membukakan pintu limpah kurniaNya, berkatNya dan taufiqNya kepada mereka.

Jika ini tidak berlaku, Allah akan memberi masa lagi pada mereka sehingga golongan fasiq itu terus bermaharajalela dan orang baik pula terus takut dan bacul untuk menjalankan misi amar makruf nahi mungkar. Ketika itu Allah akan murka dan apabila Allah murka, kemurkaanNya mengenai seluruh manusia sama ada yang jahat kerana kejahatan dan kezaliman mereka, dan juga orang yang dianggap baik tetapi berdiam diri, malas dan redha menjadi hina.

Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w membuktikan demikian sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-du’ah, Syeikhul Islam Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyah Al-Harrani ketika menjelaskan firman Allah S.W.T. :

“Takutilah olehmu akan fitnah (azab bencana) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di kalangan kamu dan ketahuilah, bahawa Allah amat keras seksaannya.” 
 [Al-Anfal : 25 ]

Orang yang telah melampaui batas-batas Allah adalah termasuk di dalam kategori zalim. Manakala orang yang tidak menegah orang zalim dari kezaliman di sini ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama dia dianggap tidak zalim kerana dia tidak bersubahat dengan orang zalim itu. Kemungkinan kedua mereka dianggap zalim kerana tidak menegah orang zalim padahal perbuatan zalim itu wajib dihalang.

Sebagaimana firman Allah S.W.T. :

“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik.” 
[ Al-A‘raf : 165 ]

Allah menyelamatkan orang-orang yang menjalankan nahi mungkar. Manakala mereka yang hanya benci pada dosa dan kejahatan dan berkata :

“Untuk apa kamu menasihati satu kaum yang Allah binasakan mereka atau menyiksa mereka dengan azab yang keras.” [ Al-A’raf 7:164 ]

Sebahagian besar dan ulama’ menyatakan bahawa golongan kedua ini pun selamat kerana mereka itu benci kepada kejahatan dan menyangkal sekadar kemampuan mereka. Manakala golongan yang tidak menyangkal langsung, maka mereka itu juga zalim dan diazab :

sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia, apabila mereka melihat kemungkaran berlaku dan mereka tidak berusaha untuk mengubahnya, hampirlah Allah mengenakan mereka semua dengan azab daripadaNya.”

Pada hakikatnya sebahagian besar dari ulama’ yang memperkatakan tentang ayat ini telah menyatakan bahawa mereka yang mendiamkan diri itu akan diazab kerana sikap mereka yang membisu.!

Kenyataan ini ada diterangkan dengan jelas oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya. Sebahagian dari ulama’ mensifatkan balasan itu sebagai ‘qanun azab jama’I’ dalam sunnatuLlah. Ianya adalah qanun yang paling menggerunkan dan menakutkan, mendorong mereka yang tahu dan faham, atau mana-mana yang berkuasa untuk segera mengubah kemungkaran yang sedang berlaku, supaya azab yang demikian tidak menimpa seluruh masyarakat. Tugas ini lebih berat terutama ke atas pemerintah kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyuruh dan melarang. Apa yang tidak dapat dicegah dengan al-Quran akan dicegah oleh Allah dengan kekuasaanNya.

Sekiranya mereka memperbaiki masyarakat menurut hukum syariat Islam, membasmi kemungkaran, menegakkan keadilan dan memusnahkan punca maksiat, Maka Allah akan memberi pahala kepada mereka; dengan sebaik-baik pahala di dunia dan sebaik-baik pahala di akhirat dan seterusnya mengukuhkan kekuasaan mereka di bumi. 

Tetapi sekiranya mereka mengabaikan tugas ini, Allah akan menjatuhkan hukumanNya ke atas mereka dan menimpakan azab kepada mereka dan rugilah mereka di dunia dan di akhirat, semoga Allah memperlindungi kita dari kehinaan itu. Orang yang memiliki hati yang hidup, dengan fitrah imannya dapat merasa bahawa sesungguhnya setiap kegagalan, kekalahan dan kemunduran yang menimpa orang Islam di zaman ini hanyalah suatu muqaddimah dan amaran terhadap azab yang lebih besar di hadapannya.

Umat Islam pada hari ini hanya tinggal Islam pada nama sahaja dan mereka telah menyeleweng jauh dari Islam sebenar. “Seseorang Islam itu sudah cukup untuk dikatakan menyeleweng apabila dia meninggalkan jihad di jalan Allah, cenderung pada keduniaan, mencintai dunia melebihi akhirat, bencikan mati, mengikuti hawa nafsu, tunduk kepada syahwat, tenggelam dalam maksiat sehingga mereka dihina oleh Allah dengan kegagalan yang paling besar kepada mereka dan menjadikan pimpinan mereka pada tangan golongan
yang menyeleweng dan merosakkan mereka.

Allahu a'lam

Reference :

- Al Quranul Kareem.
- Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Juzu’ 17, m.s. 382
- Majalah al-Tarbiyah al-Islamiah, tahun Keenam, m.s. 26
- Ustaz al-Sawwaf, Ma’rakah al-Islamiah, m.s. 24
- Ibnu al-Qayyim, Al-Jawab alKafi li Man Su’ila ‘An al-Dawa’ al-Syafi, m.s. 45
- Muhammad Ahmad al-Rasyid - Al Munthalaq