January 14, 2013

Mahasiswa & PRK



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Saban tahun, kampus-kampus utama akan melalui dengan senario pilihanraya kampus bagi pemilihan Majlis atau Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa untuk tahun tersebut. Ia bukanlah suatu fenomena baru yang harus diladeni oleh mahasiswa dan mahasiswi, malah boleh juga ia dikatakan sebagai satu “perayaan” bagi institut pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Sesebuah organisasi memerlukan barisan pemimpin bagi mewakili mereka dalam membuat keputusan, menjaga kebajikan, mengangkat suara-suara orang yang diwakili atas sesuatu isu dan pelbagai lagi. Manakan mungkin sebuah kampus yang berkapasiti 4 000 ke 6 000 orang malahan lebih dari itu tidak mempunyai para pimpinan mereka sendiri.

Maka disinilah peranan pilihanraya kampus itu diperlukan bagi memilih barisan kepimpinan mewakili mahasiswa-mahasiswi ke peringkat pengurusan tertinggi kampus iaitu pentadbiran. Justeru, pilihanraya kampus mungkin boleh dijadikan kayu pengukur kesediaan dan kematangan mahasiswa dalam berpolitik walaupun ia tidak merangkumi keseluruhan politik itu sendiri, tetapi dapat membentuk nilai - nilai politik yang baik, seperti politik nilai, politik hikmah dan nilai integriti dalam kepimpinan.

Pemerhatian telah dilakukan kepada beberapa Universiti awam dan Politeknik awam berkenaan dengan Proses Pemilihan Majlis atau Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa sehinggalah terfikir untuk penulis memperkatakan pada hari ini berkenaan dengan “Kematangan Mahasiswa kini Dalam Mendepani Pilihanraya Kampus”.

*sekadar gambar hiasan,bukan tujuan kempen

Sebilangan mahasiswa hari ini kurang atau mungkin ada yang tidak berminat terhadap pilihanraya kampus apatah lagi bila berbicara berkaitan politik kampus. Malahan tidak tahu apa sebenarnya politik kampus, apa itu proses Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa. Terlalu banyak persoalan timbul sebelum, semasa dan selepas proses Pilihanraya Kampus. Oleh itu sejauh mana pihak pentadbiran atau pengurusan, melihat perkara ini ? atau kah pihak pentadbiran cukup setakat tampal poster pengumuman pilihanraya sahaja selepas tu, " kau punya pasal lah nak ambil borang atau tidak "? Dan sejauh mana pula dikalangan mahasiswa yang sudah berpengalaman dan memiliki kepimpinan ini dalam membantu  memberi kesedaran kepada mahasiswa lain tentang Pilihanraya kampus ini? masing-masing punya jawapan dan alasan.

Apabila kita bercerita tentang Pilihanraya, maka proses pemilihan yang dilakukan juga haruslah telus dari pelbagai pihak sama ada di pihak mahasiswa mahupun pentadbiran. Ketelusan dan keadilan mestilah dijadikan ramuan utama untuk memastikan segala proses yang dilakukan adalah saksama. Tidak guna sekiranya setiap mahasiswa yang dijadikan calon itu hanya sekadar mengisi jawatan kepimpinan sahaja.

Kematangan juga yang dimaksudkan adalah sentiasa cakna dan melibatkan diri di dalamnya sama ada anda sebagai penyokong yakni dalam memilih pucuk pemimpin, sebagai calon, atau yang membantu pentadbiran dalam menjalankan PRK . Selain itu juga anda perlu bertindak secara berani dalam memastikan konsep “Keadilan dan Ketelusan” menjadi hak utama kepada seluruh masyarakat kampus.

Mendepani pilihanraya kampus ini, setiap mahasiswa perlulah sentiasa berfikiran terbuka dan mewujudkan sifat ingin tahu atau masyarakat kampus berinformasi dan seterusnya menjadi mahasiswa yang prihatin terhadap keadaan mahupun situasi kampus. Mahasiswa juga perlulah bijak memilih pemimpin yang berkredibiliti, berintegriti pemimpin yang mesra mahasiswa, pemimpin yang memegang dasar prinsip-prinsipnya yang tinggi, pemimpin yang mampu membawa kita ke arah kebaikkan serta menjaga kebajikan.

Bila kita soroti sejenak tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan  perwakilan pelajar.  Perwakilan mahasiswa ini bukan menjadi robot buat mahasiswa sekalian tetapi sebagai mata ,telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian. 

Ini bermakna pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar ‘viable’ dan berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus. Berkarisma ialah salah satu kata kunci yang menjadi pilihan penulis pada hari ini jika ditanya kriteria yang diperlukan bagi seorang pemimpin pelajar selain daripada qawiyul ( kuat ) dan amin (amanah ).



Karisma mempunyai konotasi yang cukup luas yakni merangkumi cara bekerja, pesonaliti, ekspresi idea, berakhlak dan tidak dilupakan interaksi sosial yang baik.

Lantaran itu, falsafah pendidikan negara kita ini dan mana-mana pusat pengajian tinggi di dunia ini mengharapkan untuk menghasilkan mahasiswa yang versatile dan serba boleh.

Pendidikan negara kita bersifat holistik bagi menghasilkan ‘insan kamil’ yang sempurna sifatnya. Dan yang malangnya adalah pendidikan hanya dijadikan alat untuk menghasilkan pekerja mahir sahaja dan ulat membuku..

Persepsi ini salah dan perlu diperbetulkan. Justeru, pilihanraya kampus merupakan ruang yang paling sesuai untuk mencapai tujuan tersebut.  Golongan pemimpin muda ini diharapkan benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk menerajui kepimpinan dirinya, kepimpinan keluarganya,masyarakat ataupun negara kelak..

Tidak syak lagi, Pilihanraya kampus sepatutnya menjadi medium yang sesuai untuk tujuan tersebut. Kempen yang terlalu singkat dan tiada kebebasan buat mahasiswa itu untuk berkempen bagi menerangkan manifesto dan gagasan mereka sebenarnya, sedikit sebanyak menghakis ciri-ciri karismatik yang dinyatakan tadi. Maka jadilah pilihanraya kampus yang lekang dan lesu serta bersahaja. 

Pengundi hanya mampu menilai calon-calon yang bertanding melalui poster hitam putih dan sedikit manifesto berbentuk tulisan yang dilampirkan bersama padahal pengundi mungkin ingin berkenal dengan calon tetapi sebaliknya telah berlaku. Ditakuti juga pemimpin yang dipilih nanti ialah ‘pemimpin kangkung’ yang hanya timbul dan menampakkan muka hanya semasa musim pilihanraya.

Walhal sebelum ini mereka tidak pernah pun dilihat langsung apatah lagi melihat mereka ini yang aktif dan layak digelar sebagai pemimpin. Tetapi apa pun anda semua itu mampu dididik dan dibentuk. Pengukuhan kepimpinan anda hendaklah seperti bunga ‘kiambang bertaut’ yang mempunyai akar yang kukuh dan sedia mantap walaupun selepas hujan ataupun yang mempunyai akar dan sedia di semai  untuk kekal mantap sebelum hujan.

Kesimpulannya, semoga pilihanraya kampus yang terlibat pada tahun ini, dapat memberi impak dan menyampaikan "message" agar mahasiswa kita hari ini sentiasa cakna dalam mendepani isu sbegini,  walaupun ianya bermusim, senantiasalah memberi kesedaran akan peri pentingnya memilih pemimpin. Pilihlah mahasiswa yang mampu membawa organisasi yang mewakili mahasiswa lain sekaligus membawa masyarakat kampus untuk sama-sama  berjaya dunia akhirat, dan yang sentiasa menjaga kebajikan anda. Apa-apa pun setiap kepimpinan akan dipertanggungjawabkan.

Wallahu a'lam.