January 30, 2013

Nah Epal..Kau percaya atau Yakin?



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Kepercayaan dan keyakinan adalah suatu nilai yang perlu ada dalam diri kita. Sebagai seorang muslim atau bahkan juga yang non muslim, kita tentu dididik untuk membentuk kepercayaan jua keyakinan dalam diri. Hal ini berlaku melalui didikan membentuk keimanan dan kepercayaan, samaada perkara itu lebih menjurus kepada hal spiritual atau keagamaan.

Suatu hari, disuatu tempat yang jauh dari negara kita ini, berlangsunglah satu pertunjukkan kemahiran yang  luar biasa diadakan sebelum ini. Antara banyak-banyak pertunjukkan kemahiran, yang paling menjadi tumpuan orang ramai adalah pertunjukkan menembak sebiji epal di atas kepala sebuah patung dalam jarak yang agak jauh. 


Selepas membedek beberapa ketika, dia menarik picu pistolnya dan tembakannya tepat mengena epal tersebut tanpa tersasar sedikit pun, perkara ini diulangnya dua hingga 3 kali.

Kemudian penembak itu bertanya kepada orang ramai, "Apakah tuan-tuan dan puan-puan percaya, saya seorang penembak yang cekap"? Lantas semua orang yang ada disitu menjawab, "Ya kami percaya."!

Kemudian dia (penembak) menutup matanya pula dengan kain hitam yang tidak boleh ditembusi hatta sekecil debu pun, untuk memastikan dia benar-benar tidak boleh melihat, tambahan lagi dia meletakkan kapas diatas kelopak matanya terlebih dahulu sebelum diikat dengan kain hitam tersebut. 

Seperti tadi, sebiji epal diletakkan diatas kepala sebuah patung, kemudian dia membedek lalu menarik picu pistolnya, dan tepat mengena sasaran. Semua yang hadir bertepuk tangan dan memuji-muji kehebatan dan kehandalan penembak tersebut. 
Dalam pada itu, si penembak pun bertanya lagi " apakah tuan puan percaya saya seorang penembak yang cekap"?  Lantas dijawab oleh orang ramai " Ya, kami percaya !

Sudah ada yang melemparkan duit ke dalam topi yang memang telah disediakan. Lalu penembak itupun seraya bertanya lagi, "Baik, sekarang tuan dan puan semakin percaya dengan kebolehan saya, mahukah tuan-tuan, jika saya tunjukkan lagi kehebatan saya untuk menambah kepercayaan tuan-tuan? Semua orang menjawab "Mahu!

"Jika begitu, saya akan meletakkan sebiji epal diatas kepala tuan-tuan, kemudian saya akan menembak epal berkenaan tanpa mencederakan tuan-tuan sedikitpun, saya jamin tuan-tuan tidak akan cedera, siapakah yang sudi membantu saya menjayakan pertunjukkan ini"? tanya si penembak

Senyap dan terkelu lidah, tiada siapa yang menjawab.

"Tuan-tuan telah melihat kepakaran saya, saya telah membuktikan kepada tuan-tuan saya boleh menembak dengan tepat walaupun dengan menutup mata. Tuan-tuan juga telah mengatakan bahawa percaya dengan kebolehan dan kehebatan saya. jadi ada sesiapa yang sudi? sekali lagi dia bertanya.

Para penonton tersengih-sengih dan ada yang tergamam, tiada seorangpun yang berani tampil kehadapan, akhirnya pertunjukkan itu dibatalkan dan tidak pernah sampai ke penyudah.

lalu mari kita persoalkan, mengapakah tiada seorang pun yang berani tampil ke hadapan, padahal mereka telah melihat sendiri kehebatan dan kejaguhan penembak berkenaan melakukan kerjanya? jawapannya mereka percaya tapi tidak yakin.


Ada pula kisahnya seorang pensyarah dikampus malaysia, ketika mana dijemput menjadi tutor tentang definisi percaya dan yakin. Seorang mahasiswa dengan confidence menjawab "percaya" ialah suatu keyakinan bernilai 50% manakala "yakin" adalah kepercayaan 100%. Jawapan pelajar tersebut dipersetujui oleh semua mahasiswa yang berada didalam dewan, mungkin jika saya bertanya juga kepada kalian, menyokong jawapan tersebut.

Kemudian mereka ditanya pula tentang rukun iman dan disuruh menyebutkan satu persatu, lalu merekapun, menyebutnya begini "rukun iman yang pertama adalah percaya kepada Allah, kedua percaya kepada rasul, ketiga dan seterusnya.

Kemudian pensyarah tersebut bertanya lagi " setakat percaya saja?

 "Ya , sebab iman dalam bahasa arab bermaksud percaya" . Jawab mahasiswa tersebut.

Sahkah keimanan jika nilainya hanya 50%? tanya Pensyarah tersebut, lantas pelajar-pelajar didewan pun diam seketika menunggu jawapannya. 

Kamu juga yang berkata percaya hanya bernilai 50%. adapun 50% lagi untuk sampai ke tahap kepercayaan yang mutlak atau yakin. merekapun tersengih-sengih.

Oleh itu, disini ada perbezaan antara percaya dengan yakin. percaya sahaja belum cukup untuk menyatakan keyakinan kita terhadap kewujudan Allah, Malaikat, Nabi, kitab dan Qadak qadar.

Sebagaimana muslim atau non muslim sekalipun, kita diminta percaya akan kewujudan Allah dan berasa yakin dengan kekuasaan-Nya. Ramai dari kita, apabila ditanyakan apakah kamu percaya kepada Allah S.W.T, dengan spontan dan bersemangat mereka menjawab ya kami percaya, dan apabila ditanya pula apakah kamu yakin dengan kekuasaan Allah S.W.T, dengan spontan dan bertenaga juga mereka menjawab"yakin". 

Tetapi apabila disuruh membuktikan keyakinan itu, ramai yang gagal. Contoh paling mudah adalah solat.! Berapa ramai yang sedar akan kewajipan solat tetapi tidak berupaya melaksanakannya. Berapa ramai yang yakin percaya Allah S.W.T tetapi tidak yakin akan ancaman ilahi. Contoh kedua paling mudah lagi adalah kematian.! Berapa ramai yang sedar akan wujudnya selepas kehidupan ini, yakni akan mati, tetapi tidak berupaya untuk mempersiapkan bekalan diri untuk dibawa nanti.?

Kisah penembak itu tadi, adalah kisah yang jarang atau sukar kita jumpa, rasanya belum pernah kita temui lagi. Tetapi bila difikir matang dan diambil analoginya, terkait dengan kepercayaan kita terhadap Allah dan hari akhirat. Tetapi kita perlu ingat ! bahawa setiap percaya dan yakin, kekadang diganggu oleh satu lagi perkara yang sukar untuk diterangkan juga, iaitu ragu-ragu.

Allahu'alam.