January 25, 2013

Who is He ?


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
Bumi makkah tiba-tiba sahaja penuh dengan kemuliaan dan cahaya, musim bunga ketika itu, antara yang terindah pernah hadir diwajah kota tersebut. Wajah peradaban yang dalam hitungan hitam, dapat ianya wujudkan ratusan malahan ribuan tahun, munculnya mencemerlangkan kehidupan masyarakat arab menjalar kesetiap pelusuk bumi ketika itu.

Namanya hadir bersama kemuliaan yang diberi padanya, lantas menggetarkan tubuh dua empayar parsi dan rom. Keluhuran budi pekertinyanya yang dibimbing wahyu ilahi, mnjadikan dia insan yang dipercayai sekalipun orang yang menentangnya. Dia mengubah wajah peradaban hitam manusia kepada peradaban yang penuh dengan cahaya, ketertindasan menjadi kebebasan, permusuhan menjadi persaudaraan, kebohongan menajdi kejujuran, kenistaan menjadi kemuliaan, kejelekan menjadi keindahan, kebakhilan menjadi kedermawaan.

Islam yang dibawanya kemudian bergema hingga belasan abad melangkau dekad setelah kewafatannya, jutaan penduduk bumi merinduinya sama ada yang pernah bersamanya, atau yang mencintai dalam keadaan tidak pernah melihatnya wajahnya sekalipun. Jutaan penduduk bumi mengikuti lorongnya, hinggakan kisah hidupnya dinukilkan dengan berjuta-juta jilid.


 Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T, atas dipertemukan bulan yang mulia ini, Rabiul'awal, bulan yang lahirnya seorang manusia pembawa rahmat Allah buat sekalian alam. Kini tiba masanya meraihkan hari kelahirannya, dialah seorang anak, ayah, suami, pedagang, pemuda dan dialah Rasul terakhir yang diutuskan Allah kepada umat manusia, kelahirannya membawa sinar dan cahaya buat ummat manusia, disetiap penjuru alam,

Sirah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit, manis, duka dan tawa seorang  manusia biasa yang luar biasa di dalam tugasnya membawa risalah Islam yang mulia ini, dia melalui liku kehidupan sehingga pernah dikeji, dihina, dicaci maki diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya, itulah salah satu dari pelbagai rintangan/cabaran dan dugaanya.



Diutuskan kepada umat manusia sekaligus penutup kepada para nabi, wajib kita mentaatinya dan mengimaninya kerana itu adalah sebahagian dari rukun iman, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya, kerana itu semua juga datangnya dari suruhan pengutus yakni Allah S.W.T .

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7 ;

"Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya  kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya 
(bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)"

Bilaman kita sorot kembali sirah perjalanannya 1500 tahun dahulu, kita akan mendapati bahawa, dia sentiasa dalam jagaan/ perlindungan Tuhannya Allah s.w.t. Walaupun dia hidup dalam hiruk pikuk suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu dan berhala, namun dia tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan, sebaliknya dia, diwaktu usia mudanya sebelum diangkat menjadi rasul, sentiasa mencari-cari siapakah Tuhan yang disembah oleh moyang mereka Ibrahim a.s. ketika itu.

Dia turut ditarbiyah dengan ujian yang mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi kita lihat dia ini telah menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda, Abdullah bin Abdul Muttalib dan bonda yang tercinta, Aminah binti Abdul Wahab, selepas itu, kewafatan datuknya pula Abdul Muttalib.

Sebagai seorang pemuda juga, Dia mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi khususnya anak muda kita hari ini.

Bila kita lihat jua antara sikap terpuji atau akhlak yang ditunjukkannya adalah dengan menjadi ketua keluarga yang baik serta bertanggungjawab, walaupun dia dihimpit dengan kesibukan sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya, dia sentiasa menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. 

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Quran, surah al-Tahrim ayat 6 :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Dia memperlihatkan juga rupa seorang pemimpin yang ikhlas dan berintegriti dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam, dalam memberi kebaikan jua kebajikan kepada muslim dan yang bukan muslim, dalam memberi keadilan kepada yang berhak hatta keadilan kepada musuhnya. Bagaimana kita lihat, Dia menyayangi tidak kira rupa bangsa atau agama sekalipun.

Diutusnya Dia bersama akhlak yang sempurna untuk kita contohi sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat dan agama ketika itu, dan masa kini. Apatah lagi dizaman teknologi kini yang akhlak manusia pun semakin berteknologi tinggi kerusakannya.

Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam surah al-Ahzab ayat 21 :

"Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak 
(dalam masa susah dan senang)."


Inilah antara sifat-sifat dan akhlak diantara banyak-banyak sifat terpuji, sehingga dia digelar oleh isteri tercintanya A'isyah r.ha sebagai Al quran yang bergerak lantaran akhlak yang ditujukan kepada sesiapapun yang bersamanya hatta seorang yahudi yang buta mencaci makipun , memeluk islam asbab keindahan akhlak yang dia tunjukkan.

Akhir kehidupannya, dia pesan kepada kita dan ummat sebelumnya tentang dua perkara, khazanah atau harta yang amat berharga sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. 

Ini bertepatan dengan sabdanya :
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekali-kali sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi"

Dan siapakah sebenar yang kita rujuk dengan panggilan " Dia" dalam kisah kita ini, tidak lain dan tidak bukan, dia adalah Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah S.A.W utusan, jua kekasih Allah S.W.T

Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini, tidak kiralah dengan apa pun kita menyambutnya sama ada dengan berarak, lantunan mahabbah, dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan insaf serta mengkoreksi nilai cinta kita terhadap Rasulullah s.a.w.

Jangan kita jadi seperti Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda sehingga sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila Abu lahab mendengar bahawa Muhammad s.a.w membawa risalah agama islam lantas dialah yang pertama dan paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Wallahu a'lam.