April 11, 2013

Pekerja, Revolusi dan Islam.


 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Islam dan pekerja:

Islam menggesa untuk bekerja, dan menetapkan kebebasan bekerja untuk mencari rezeki, dan menjadikan setiap Muslim bertanggungjawab secara langsung melakukan pekerjaan yang bermanfaat bagi dirinya sendiri dan masyarakat, bebas memilih pekerjaan yang dijalankan sesuai dengan minat, bakat dan kebolehan masing-masing. Kebebasan memilih pekerjaan tidak dibataskan berdasarkan kelas atau status sosial, tetapi melihat kepada kompetensi dan kemampuan yang menjadi kriteria kelayakan individu. Dengan demikian Islam memastikan tercapai prinsip peluang yang sama bagi semua orang, dan larangan hak istimewa kepada mana-mana pihak atau golongan yang berkuasa.

Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah (saw) telah mengumumkan dengan teriakan yang keras ke puncak langit di hadapan orang-orang yang mendakwa memiliki kedudukan dan keturunan yang mulia. Baginda bersabda (maksudnya):

“Awaslah kalian jangan biarkan manusia datang dengan amalan sedang kalian datang dengan bebanan dosa yang kalian pikul di atas bahu kalian”.
Allah swt berfirman (maksudnya):

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (Fussilat: 33).

Islam yang telah menetapkan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan, tidak bererti Islam menghendaki mesti sama dalam menikmati hasil dari pekerjaan ini. Ini kerana Islam mengakui perbezaan semulajadi yang wujud antara individu dari segi bakat, kebolehan dan usaha, dan kemudian yang terdapat di dalam Islam hanyalah derjat (tingkatan di sisi Allah), tetapi bukan kasta-kasta. Allah swt berfirman:

“Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? kami Telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami Telah meninggikan sebahagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar sebagian mereka dapat mempergunakan sebagian yang lain. dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (Az-Zukhruf: 32)

Konsep kemajuan bagi pekerja dalam Islam:

Seperti yang diketahui tentang ‘pekerja’ adalah orang yang menjalankan pekerjaan menggunakan tangan atau secara manual yakni ‘buruh’, sehinggalah Islam datang, telah menggunakan perkataan pekerja (‘amil) dalam artinya yang betul, dan dibebaskan dari kejumudan pemikiran. Kita lihat bagaimana perkataan pekerja telah digunakan di zaman Rasulullah saw kepada gabenor. Oleh sebab itu khulafa’ ar-Rasyidin memanggil para gabenor sebagai pekerja (‘amil). Mereka mengatakan: “Umar bekerja (mentadbir) ke atas Mesir”, “Uthman bekerja (mentadbir) ke atas sekian..”. Justeru, setiap gabenor yang mentadbir daerah mereka disebut pekerja (‘amil).

Kemudian kita telah membaca dan mendengar tentang “ ‘amil (pemungut) zakat dalam Islam” dan “ ‘amil (pemungut) cukai” dan lain-lain, tetapi orang-orang Islam selepas itu terjerumus ke dalam jurang konflik pemikiran. Musuh-musuh Islam telah campur tangan, berusaha mencampur-adukkan maksud sebenar sesuatu perkataan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam dengan falsafah Greek untuk beberapa ketika lamanya. Dengan kehendak Allah, selepas itu kita mendengar lagi bahawa “Setiap orang yang bekerja adalah pekerja (‘amil)”. Begitu juga kita seringkali menamakan seperti “panduan pekerja” “undang-undang pekerja” tanpa diskriminasi antara ketua dan orang bawahan, dengan alasan bahawa Allah swt menjadikan bekerja itu suatu kewajipan yang dituntut ke atas setiap orang yang berkemampuan, dan Allah swt meletakkan peluang yang sama ke atas hambaNya sebagai asas untuk bekerja di dunia ini dan perhitungan di akhirat.

Islam melarang pengangguran:

Firman Allah swt bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. dan Hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”. (Al-Mulk: 15)

Allah telah mencipta manusia memakmur dan membangunkan muka bumi ini; kerana Allah telah menentukan sunnah-Nya demikian, dan Allah telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi, supaya dapat bekerja di dalamnya. Firman Allah swt bermaksud:

“dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. (Huud: 61)

Ayat-ayat tersebut menjadi dalil terhadap kewajipan membangunkan tanah dan mengusahakan pertanian. Jelas Islam tidak sekadar menyatakan bahawa membangunkan tanah sebagai sunat atau anjuran agama, malah ianya salah satu dari ritual yang wajib kerana diberi ganjaran untuk orang yang melakukannya dan dihukum dosa untuk orang yang meninggalkannya, bersesuaian tugas manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Oleh sebab itu ia harus melaksanakan dengan sempurna tugas khalifah, iaitu dengan bekerja dan berusaha keras di permukaan bumi dan dan di dasar bumi; supaya dapat mengeluarkan rezeki yang terdapat di dalamnya, dan dapat menyumbang melalui pekerjaan dalam membina masyarakatnya. Firman Allah swt (bermaksud):

“Kemudian kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat”. (Yunus: 14)

Justeru, Islam telah mengisytiharkan ‘perang’ tanpa henti terhadap pengangguran, iaitu dengan menentang, memberi amaran dan mengancam. Bagaimana boleh ada pengangguran sedangkan Allah telah memudahkan muka bumi untuk kita dan membentangkannya untuk kita berjalan di atasnya, di samping menyenangkan jalan untuk mendapatkan manfaat darinya, maka tidak ada alasan untuk berlaku pengangguran setelah Allah jadikan muka bumi ini mudah untuk manusia. Oleh itu, orang yang enggan atau berhenti bekerja sedangkan mempunyai kemampuan untuk itu, maka ia telah melanggar sunnah Allah di alam semesta, kerana ia hidup menjadi beban bagi saudara-saudara dan rakan-rakannya dalam menjalankan tugas khalifah.

Hak para penganggur untuk bekerja:
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi saw memintanya untuk membantu urusan hidupnya yang tiada pekerjaan, dan tidak ada makanan untuk menguatkan dirinya dan anak-anaknya; Apakah yang dilakukan Rasulullah saw untuk mengajar orang yang sedang mencari dan mengharapkan pekerjaan? Rasulullah telah memanggil lelaki itu datang. Lalu Rasulullah membawakan sebatang kayu yang dibuat dengan tangannya sendiri, dan meletakkan kayu itu pada cangkul, dan kemudian memberikannya kepada orang itu, serta menentukan tempat kerjanya, dan menyuruhnya membuat kerja tersebut. Rasulullah saw meminta orang itu untuk kembali beberapa hari kemudian menceritakan keadaan tersebut, Lalu lelaki itu kembali mengucapkan terima kasih kepada Rasulullah dengan apa yang diajarkannya, dan menyebutkan bahawa keadaan dirinya yang kini telah mulai senang.

Justeru, di antara hak para penganggur jika ia ingin bekerja ialah pergi menemui pihak berkuasa, untuk memberikan pekerjaan kepadanya. Di antara tugas Negara ialah mengiktiraf hak-hak penganggur dan menguruskan pekerjaan bagi mereka, dan juga mengambil tindakan lanjut tentang keadaan mereka. Kita telah melihat bahawa Rasulullah saw bukan hanya mencarikan pekerjaan bagi penganggur, tapi memintanya supaya melaporkan keadaan pekerjaaannya agar dia tenang dan puas hati dengan perkembangannya. Inilah keunikan prinsip undang-undang Islam. Begitu juga antara hak pekerja ke atas negara ialah menyediakan alat-alat bekerja, sepertimana Rasulullah telah membawakan cangkul, meletakkan tangannya, dan berikan kepadanya. Inilah alat bekerja.

Pandangan Islam tentang hak-hak dan kewajipan pekerja:

Islam telah memberi pekerja hak-hak pekerja seperti upah yang adil dan munasabah, dan dibayar pada masa yang dijanjikan atau ditentukan, tanpa lewat atau tangguh, sebagaimana sabda nabi saw bermaksud:

“Berikan pekerja upahnya sebelum kering keringatnya “(HR. Ibnu Majah),

dan Islam juga memutuskan untuk tidak terlalu membebani pekerja atau ditugaskan bekerja melebihi kemampuannya. Firman Allah swt (bermaksud):

“seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya (-Baqarah: ayat 233),

Dan melalui lisan nabi Syuaib kepada nabi Musa a.s ketika beliau mahu Musa bekerja untuknya, ia berkata bermaksud:

“Maka Aku tidak hendak memberati kamu”. (Al-Qashash: 27),

Sungguhpun begitu pekerja juga mempunyai kewajipan yang mesti ditunaikan, iaitu antaranya: Melaksanakan pekerjaan dengan jujur, ikhlas dan berkualiti, dan mengelakkan penipuan, kelalaian dan pengabaian. Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi ketika salah seorang dari kalian yang melakukan sesuatu pekerjaan maka ia melakukannya dengan baik,”

Selain itu, pekerja mesti menjauhkan diri dari pengkhianatan semasa bekerja dalam apa jua bentuk dan keadaannya; seperti membuang masa adalah pengkhianatan, menerima rasuah adalah pengkhianatan, dan mengenepikan kepentingan awam adalah pengkhianatan.

Firman Allah swt bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu Mengetahui”. (Al-Anfal: 27).

Islam dan pengagihan kekayaan:

Allah swt telah mengagihkan kekayaan dengan adil di serata pelosok bumi, supaya manusia dapat saling bertukar-tukar manfaat dan kepentingan mereka. Allah swt berfirman (bermaksud):

“Katakanlah: “Sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya? (yang bersifat) demikian itu adalah Rabb semesta alam”. (Fussilat: 9)

dan Firman Allah swt (bermaksud):

“Dan dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. dia memberkahinya dan dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya”. (Fussilat: 10)

Iaitu kadar setiap penghidupan, rezeki dan kekayaan memakan masa yang lebih lama daripada penciptaan langit supaya manfaatnya sempurna bagi semua orang.

Allah swt telah menurunkan jalan pertengahan untuk pengagihan kekayaan di antara manusia, kerana manhaj Allah ini adalah manhaj yang terbaik. Sebaliknya dalam sistem Kapitalisme memperuntukkan segalanya untuk kepentingan golongan pengusaha atau pemodal yang merompak kekayaan, dan sistem sosialisme memiskinkan semua orang. Namun Islam datang dengan dasar pertengahan yang adil antara dua golongan tanpa menindas satu sama yang lain.


Pekerja dan Revolusi:


Para pekerja telah memainkan peranan yang mulia sebelum revolusi, sekarang dan selepasnya. Tidak ada yang dapat menafikan, sejak tahun 2004 dan bahkan 2010 tidak berhenti protes para pekerja; membela hak-hak pekerja dan tuntutan mereka, dan mengambil langkah memberi penjelasan di dalam masyarakat di mana terdapat undang-undang yang memihak kepada pengusaha dengan mengorbankan hak-hak pekerja, di bawah organisasi kesatuan pekerja yang korup dan sistem politik yang menindas, tanpa ragu-ragu untuk menggunakan kekerasan terhadap para pekerja dan para pemimpin mereka yang ditangkap di bawah undang-undang darurat.

Revolusi 25 Januari sebenarnya tidak terpisah dari apa yang berlaku sebelum itu, iaitu asas-asas gerakan rakyat yang telah membuka jalan untuk revolusi ini. Realiti dari keadaan tersebut menegaskan bahawa para pekerja Mesir masih melanjutkan perjuangan mereka untuk menuntut hak-hak mereka.
Pada tahun 2010 mereka telah mengadakan sekitar 530 protes pekerja, iaitu merangkumi 209 piket, 135 mogok, 80 demonstrasi, 83 protes dan 23 perhimpunan. Kerugian pekerja tergambar dari pemberhentian dan pemindahan 40,735 pekerja, dan kematian 118 pekerja, dan mencederakan 6,544 yang lain, akibat dari keadaan kerja yang buruk, dan tiada ciri keselamatan industry dan kesihatan kerja. Namun tragedi sebenar ialah kes bunuh diri 52 pekerja, selepas gagal menyediakan keperluan sehari-hari keluarga mereka dalam keadaan upah yang rendah dan harga barangan yang meningkat.

Jika seorang pekerja/buruh Tunisia “Bouazizi” dianggap sebagai percikan pertama yang memulakan revolusi Tunisia, maka Revolusi Mesir pula telah melahirkan ramai syuhada’ dari para pekerja, di antara mereka ialah seorang pekerja anggota Ikhwan, syahid “Nur Ali Nur,” salah seorang pimpinan kesatuan pekerja minyak di Alexandria, yang dibunuh oleh polis semasa Revolusi.

Jelaslah bahawa gerakan pekerja telah bangkit untuk melakukan reformasi, yang sebahagian besarnya merupakan anggota Ikhwan Muslimin, dan telah mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut pembubaran Jabatan Pentadbiran pertubuhan bukan kerajaan dan Jabatan pentadbiran kesatuan pekerja pekerja awam miliknya, serta dewan jawatankuasa kesatuan pekerja, yang telah melakukan semua pemalsuan dan pelanggaran undang-undang dan membatalkan keputusan penghakiman, lebih-lebih lagi peranan Kesatuan yang sentiasa membayangi Parti demokratik kebangsaan dalam semua dasar, dan menyokong semua keputusan penswastaan dan pembubaran sektor awam, kawalan negara terhadap dana insurans social. Jabatan pentadbiran kesatuan masih berkhidmat sebagai pemegang amanah pekerja bagi parti Demokratik Kebangsaan.

Kami meminta kepada semua kesatuan dan gerakan pekerja berdiri di belakang revolusi atau reformasi, tidak tertinggal di belakang, dan tetap berada di ‘jantung’ perjuangan dan proses peralihan kepimpinan negara, untuk memastikan mereka tetap di atas jalan yang sama, menuju arah yang sama sehingga sampai kepada objektif yang lengkap.

Source :
- Prof Dr Muhammad Al Badi'