June 11, 2013

Bedah & Resensi Buku : Islam and the Arab Awakening


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan untuk memberi pengisian di blog ini, setelah berehat beberapa hari yang lalu dan rasanya bulan sudah, harapnya tidak menjadi sawang-sawang tapi galian juga wangian buat pencari dan pengembara ilmu yang datang.

Kali ini pendekatan untuk bedah buku karangan tokoh ilmuan islam abad ini Prof Tariq Ramadan.


Karya Prof Tariq Ramadan ini perlu dilihat sebagai salah sebuah karya penting dalam memahami fenomena The Arab Spring yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Mesir, Libya, Syria , Bahrain dan sebagainya. Karya yang baik telah dihasilkan oleh Prof Tariq Ramadan, selain dari pendekatannya menyampaikan dalam siri-siri ceramahnya.


Menerusi buku ini,  Tariq mengemukakan analisis dan ulasan beliau terhadap faktor-faktor yang mencetuskan kebangkitan rakyat di wilayah Arab terhadap negara-negara tersebut secara mendalam, terperinci dan kritis disamping penambahan yang bernas cuba diketengahkan.

Prof Tariq Ramadan memberi pandangannya,  bagaimana pemerhati dari dunia Barat sememangnya terkejut akan situasi ini dan melihat apa yang berlaku di wilayah Arab ini sebagai suatu perkembangan yang baru dan diterima oleh masyarakat dunia dan menjadi anatara salah satu akhbar utama dunia.

Hal ini demikian memandangkan Islam bukanlah sebuah agama mencirikan peradaban Barat, memandangkan Barat lebih mengaitkan diri mereka dengan legasi Yunani.  Konsep demokrasi,  kebebasan,  kesaksamaan  dan  semuanya dikaitkan dengan apa yang mereka terima daripada peninggalan Yunani.

Malah, Islam digambarkan sebagai suatu agama yang membawa nilai-nilai yang bertentangan dengan Barat.  Namun dengan tercetusnya fenomena Arab Spring, dunia Barat mula membuka mata besar dan meilhat bagaimana dunia Islam juga mampu mengutarakan gagasan-gagasan tersebut dan mereka mula melihat titik persamaan antara kedua-dua pihak.

Prof Tariq Ramadan juga mengutarakan analisis terperinci tentang latarbelakang sosioekonomi, sosio politik, faktor minyak dan kaitannya dengan faktor-faktor geopolitik serta peranan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan China di dalam arus kebangkitan rakyat di negara-negara tersebut.

Setiap kebangkitan rakyat di negara-negara tersebut  perlu dilihat dalam konteksnya tersendiri begitu juga keadaannya yang berlaku di Malaysia, ada sudut tersendiri dalam melihat keadaan kebangkitan rakyat itu, dan tidak boleh dinilai di dalam acuan yang sama.  Hal ini akan jelas membantu kita memahami mengapa di Tunisia,  Mesir dan Libya,  pemerintah yang dikaitkan dengan kediktatoran berjaya ditumbangkan namun perkara yang sama tidak dilihat di Syria dan Bahrain.

Beliau turut memberikan kupasan yang menarik bagaimana sekularisasi dan korupsi berlaku di dunia Barat dan negara-negara Islam, namun menghasilkan natijah yang berbeza.

Beliau juga membuat sorotan berkaitan faktor Islam dan peranan yang telah dan wajar dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam dalam era-pasca Arab Spring ini dan tidak terlepas buat nasihat gerakan islam di Malaysia.
Salah satu gagasan besar yang turut diberi penekanan oleh Prof Tariq di dalam buku ini adalah berkaitan isu membangunkan masyarakat sivil di negara-negara Islam.

Menurut beliau, usaha-usaha pendemokrasian dan emansipasi negara-negara di dalam wilayah Arab perlu dilakukan menerusi gerakan masyarakat sivil. Usaha menyingkirkan diktator semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya usaha-usaha pembangunan dimensi politik dan sosial yang menyeluruh perlu dilakukan. Di samping itu, beliau berhujah bahawa liberalisasi politik tidak akan berlaku di dunia Arab tanpa wujudnya emansipasi ekonomi.

Saya mencadangkan kepada anda untuk membaca buku ini, buku ini sememangnya perlu dibaca, dikaji dan ditekuni bagi memahami kompleksiti lingkungan sosiopolitik dan sosioekonomi di wilayah-wilayah Arab dan bagaimana kita cuba ingin mengaitkan keadaan tersebut dinegara masing-masing.

Wallahu'alam