July 15, 2013

Timeline Ramadhan : Menjadi Mukmin Super



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Perang badar telah berlaku didalam bulan mulia ramadhan dan ia mempunyai rahsia atau kekuatan yang tersendiri yang perlu dihayati dan diamati. Umat islam menyaksikan kemenangan yang luar biasa yang diperoleh tentera muslim. Kemenangan ini berkait rapat dengan sifat mukmin yang super yang telah ditanam oleh baginda s.a.w dalam diri setiap ahli pasukannya. Antara Methodnya ialah :


1. Mempunyai Niat dan matlamat yang betul

Setiap pekara yang dilakukan perlu menetapkan niat dan matlamat yang betul supaya kita tidak tergelincir dari landasan kehidupan. Rasulullah saw bersabda sewaktu perang badar bermula. Yang mana baginda sentiasa mengingatkan parajurit bahawa dalam setiap peperangan yang dihadapi bukan bertujuan untuk mendapatkan harta, habuan dunia, kemewahan serta kemegahan. Sebaliknya bertujuan untuk mendapat keredhaan Allah dan meninggikan syiar Islam.

Aplikasi Ramadhan : Akademi Ramadhan merupakan akademi yang beroperasi sepanjang 30 hari. Peserta yang terlibat paling ramai. Ada penyingkiran .Ada yang tersingkir dan ada yang meneruskan perjuangan. Untuk menuju 'Puncak Impian’ bukan sahaja dunia tetapi ‘Puncak takwa yang sejati’ seseorang itu perlu menetapkan matlamat untuk memperbaiki diri menjadi seorang yang bertakwa. Matlamat hendaklah jelas bukannya kabur.

2. Sabar dan Takwa

Sabar dan takwa adalah prasyarat untuk mendapat keredhaan Allah. Ini diingatkan juga oleh Rasulullah saw, baginda mengajar pasukannya untuk bersabar menerima segala kemungkinan yang akan berlaku ketika dalam peperangan sama ada menang atau pun kalah.

Aplikasi Ramadhan : Ketika Ramadhan umat Islam dituntut untuk bersabar, menahan diri daripada makan dan minum serta pekara maksiat dan yang boleh membatalkan puasa. Juga tidak melayan nafsu. Sabar dalam melakukan amalan kebaikan pada bulan Ramadhan adalah satu cara untuk melonjak iman dan takwa kepada Allah swt

3. Melawan nafsu

Nafsu merupakan faktor dalaman dalam diri manusia untuk mendorong hasrat dan naluri. Setiap manusia mempunyai jiwa dan nafsu yang harus dipandu dengan ketakwaan supaya kita akan sentiasa sedar bahawa setiap yang kita lakukan diketahui dan dilihat oleh Allah. 

Walaupun ia tersembunyi seperti sekecil-kecil niat Rasulullah berkata kepada pasukan tenteranya, bahawa kita baru sahaja selesai bertarung dengan jihad yang kecil dan ada lagi jihad yang lebih besar. Para sahabat kehairanan dan bertanya kepada Rasulullah. Maka baginda pun menyatakan jihad yang lebih besar ialah jihad menentang hawa nafsu.

Aplikasi Ramadhan : Pada bulan Ramadhan syaitan dibelenggu dan dirantai oleh Allah swt. Namun nafsu merupakan cabaran dan tugas utama yang perlu ditewaskan ketika seseorang itu berpuasa.

4. Berfikiran positif dan yakin

Kemenangan tentera Islam dalam perang Badar merupakan satu keajaiban. Kerana kekuatan tentera musuh kebih besar iaitu seramai 1000 orang berbanding tentera Islam 313 orang. Selain kelengkapan yang cukup oleh tentera musuh. Namun berkat keyakinan dan bersangka baik dengan Allah telah menyaksikan Tentera muslim mendapat pertolongan dari Allah swt.

Aplikasi Ramadhan : Sentiasa berkeyakinan dan berfikiran positif bahawa Allah swt akan memberikan ganjaran yang hebat kepada umatnya yang melakukan ibadah puasa. Ia dapat mendorong seseorang untuk memperbaiki diri serta perbanyakkan amalan kebaikan.

5. Sentiasa bersungguh-sungguh dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan. Walaupun menyaksikan suasana yang getir pada ketika itu tetapi tidak mematahkan semangat parajurit Islam untuk melakukan ibadah puasa. Selain itu jumlah mereka sedikit bukan menjadi ukuran. Namun berkat kesungguhan serta jati diri yang untuh dengan kerjasama dan perancangan yang teliti telah memberikan kejayaan kepada mereka.

Aplikasi Ramadhan : Puasa menuntut umat Islam memaksimumkan amalan ibadah. Oleh sebab itu ia memerlukan komitmen dan kesungguhan dan jati diri yang tinggi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

6. Sentiasa berdoa.

Doa merupakan pergantungan, pengharapan dan permohonan kepada Allah swt. Ia juga senjata atau perisai orang mukmin yang harus diamalkan untuk mendapat restu Allah swt. Ketika dalam perang badar nabi saw berdoa “Ya Allah, laksanakanlah untukku apa yang telah engkau janjikan. Ya Allah aku merayu kepada mu bantuan dan janji mu”(Al-Rahiq al-Makhtum)

Aplikasi Ramadhan : Bulan Ramadhan ialah bulan yang penuh rahmat bagi orang yang beriman untuk berdoa kepada Allah. Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa sepanjang Ramadhan kerana ia merupakan salah satu waktu doa dimakbulkan.

Wallahu'alam - Mohd Azrul Azlen