August 30, 2013

Demi Kemuliaan Rakyat Mesir - Beltagy



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Mohamed El-Beltagy, anggota Majlis Tertinggi FJP menegaskan bahawa penyembelihan yang dilakukan oleh puak-puak inqilabiyyun (perampas kuasa) ketika menyuraikan demonstran di Dataran Rabi'ah dan Nahdhah serta tindakan selanjutnya membakar mayat, membiarkan mereka yang luka tanpa rawatan, mengepung masjid-masjid lantas membakar serta menceroboh kesuciannya, tidak pernah berlaku seumpamanya dalam sejarah.

"Sesungguhnya jenayah yang dilakukan oleh inqilabiyyun, iaitu membunuh serta membakar mereka yang ditangkap, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana puak yang melampau dalam sejarah. Sesungguhnya para perampas benar-benar tenggelam dalam kejahatan dan melakukan jenayah paling kejam sehingga ke tahap membunuh tentera mereka sendiri.

"Sesungguhnya kesalahan kita hanyalah, kita segolongan rakyat yang berhimpun selama 48 hari untuk berkata dengan mulut, bukan dengan sesuatu yang lain, berkata : "TIDAK KEPADA INQILAB ASKARIY (rampasan kuasa tentera)”. Kami selama-lamanya tidak akan terima Mesir beralih kepada negara askar yang berdarah.


"Sesungguhnya inqilabiyyun telah terbongkar keburukannya di peringkat dalaman dan antarabangsa. Lantaran itu mereka cuba untuk mengalihkan tajuk kepada isu yang boleh menarik perhatian dunia kepadanya. Mereka menipu negara-negara luar dan bangsa-bangsa tertentu dengan istilah memerangi keganasan.

"Sesungguhnya pakatan demonstrasi aman yang berterusan selama 48 hari dikelilingi oleh kompleks-kompleks ketenteraan seperti bahagian kewangan angkatan bersenjata, ibu pejabat perisikan perang dan bangunan-bangunan lain milik askar. Selama tempoh itu, kami tidak pernah membaling walaupun seketul anak batu ke arah bangunan-bangunan itu, tidak pernah mengunci pintu-pintu atau menyerang seorang tentera pun."

Al-Beltagy juga menafikan sekeras-kerasnya pembohongan kononnya pakatan mempunyai senjata, kononnya para demonstran dan Ikhwan memiliki berbagai-bagai jenis senjata.

"Kalau betul, kenapa kami tidak mempertahankan anak-anak kami yang mereka bunuh? Kenapa kami tidak gunakan senjata itu, kalau betul ada,  untuk mempertahankan Mursyid kami dan pemimpin Ikhwan lain yang mereka tangkap?"

Beliau bertanya, keganasan apakah yang telah dilakukan oleh Ikhwan Muslimin atau Ikhwan adalah pasukan bersenjata yang mereka jaja ke seluruh Mesir? Apa guna senjata, padahal orang yang terbunuh dalam kalangan kami beribu-ribu?

Beliau mengutuk tuduhan puak inqilabiyyun bahawa Ikhwan adalah pengganas untuk menjadikan alasan bahawa jenayah yang mereka lakukan diistilahkan sebagai memerangi keganasan.

"Kalau betul Ikhwan pengganas, adakah al-Beblawi hendak berunding dengan kumpulan pengganas seusai dia dilantik sebagai Perdana Menteri? Sejak bila as-Sisi mengetahui bahawa jamaah Ikhwan ini adalah pengganas?

"As-Sisi adalah ketua perisikan perang. Selama ini dia tidak pernah pun memberitahu sesiapa bahawa Ikhwan adalah pengganas. Bagaimana dia boleh membenarkan kumpulan "pengganas" memasuki Pilihanraya Parlimen, memenangi majoriti yang memimpin Parlimen?

"Bagaimana as-Sisi boleh membenarkan dirinya ikut mencalonkan seorang anggota jamaah "pengganas" sebagai Presiden Republik, dan calon itu menang, dia berdiri di hadapannya sambil mengangkat sumpah sedangkan dia tahu bahawa jamaah ini "pengganas"?

"Sesungguhnya tuduhan-tuduhan palsu itu sebenarnya bertujuan untuk menarik sokongan rakyat Mesir yang bawahan supaya menyokong mereka memerangi penentang inqilab (rampasan kuasa)."

Al-Beltagy  menyatakan dengan tegas bahawa Ikhwan tidak keluar dan tidak bangkit menentang inqilab dengan mengorbankan nyawa anak-anak mereka dan nyawa mereka sendiri, mereka tidak lakukan itu semua kerana mengharap apa-apa keuntungan. Sebaliknya apa yang Ikhwan mahu ialah rakyat mendapat hak mereka untuk hidup mulia, membina negara madani dan demokrasi yang adil


Beliau berkata kepada rakyat Mesir: "Jangan biarkan hati kecil kamu berdiam diri terhadap kezaliman. Jangan takut kepada inqilabiyyun. Jangan jadi seperti syaitan bisu. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang tidak menolong orang yang dizalimi, Allah akan timpakan ujian ke atasnya dengan yang lebih berat, namun tiada siapa yang akan menolongnya."

Source : 

IKRAM Malaysia
- Zaadud Taqwa BlogSpot
- Ikhwan Online Web