December 22, 2013

Pendidikan yang Tewas.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Dahulu selepas merdeka, anak muda berebut untuk menjadi askar, polis ataupun cikgu. Ini merupakan pekerjaan tersohor di waktu itu. Tidak lama selepas itu, apabila negara menyambut arus pembangunan, anak pula digalakkan untuk mengambil bidang kejuruteraan atau perubatan. Sama ada anak itu mampu atau tidak itu soal kedua.

Melihat masa hadapan, satu pembangunan holistik adalah dituntut. Pendidikan perlu di terbalikkan. Pendidikan dahulu menetapkan penghujung jalannya. Anak ditetapkan untuk menjadi jurutera atau doktor dari kecil. Pendidikan sepatutnya merungkai potensi anak semaksima mungkin.



Pendidikan sewajarnya meraikan pilihan setiap individu anak itu sendiri. Pendidikan masa hadapan harus meraikan potensi anak yang tiada batasannya. Pendidikan yang mampu mencipta bidang baru, mencipta pekerjaan baru yang tidak terbatas sama ada daripada bidang matematik, falsafah, geografi, sejarah, pelayaran, musik, syair, lukisan, atau apa-apa pun.

Ibnu Khaldun di dalam Muqadimah menjelaskan dengan terperinci bagaimana sistem pendidikan yang kukuh diperlukan untuk memastikan pemerkasaan sistem ekonomi yang seterusnya menjana kekuatan dan kedaulatan sesebuah negara. Adalah satu kegagalan apabila sistem pendidikan dilepaskan kepada institusi swasta.

Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil, konteks pendidikan harus dilihat daripada lensa tahririy-tanwiriy (pembebasan-pencerahan). Keberanian dituntut untuk membangunkan satu sistem pendidikan alternatif yang bersemangat memperkasa, membebas dan mencerahkan. Selama ini yang terhasil daripada sistem pendidikan sekarang hanya melahirkan generasi yang lemah, meminta-minta, tidak mampu mencipta, dan tidak mandiri. 

Anak diasuh menjadi generasi penakut, mementingkan diri sendiri, hipokrit dan berpandangan sempit. Ramai juga yang mengalami pemandulan daya kreatif, penumpulan sikap kritis dan tidak lagi memiliki idealisme. Malah ramai yang bangga menjadi budak suruhan sang penguasa. Inilah hasilnya dari satu sistem pendidikan yang gagal.

Source :
* Antara petikan ucaptama Sis Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai di Konvensyen Pendidikan TFTN2013 baru-baru ini.