November 14, 2014

Motivasi Memperalatkan Dakwah


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Pada tahun 2004, saya melangkah kaki masuk ke dunia latihan dan motivasi melalui syarikat Fitrah Perkasa Sdn Bhd. (FPSB). Saya memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Modul, iaitu penolong kepada Tuan Pengarah ketika itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi. 

Sungguh ironi, pekerjaan pertama saya di Malaysia, adalah di dalam bidang yang saya tidak suka. Saya sangat pesimis dengan dunia motivasi kerana pengalaman sebagai peserta kepada program-program motivasi ketika di bangku sekolah, saya rasa ia program yang tidak berisi. 

Tetapi semasa menyertai FPSB, rasa pesimis itu beransur hilang. 6 bulan pertama saya belum mendapat kebenaran untuk menyampaikan modul. Saya hanya bekerja petik suis lampu dan susun pensel peserta sebelum mereka tiba. Juga imamkan solat semasa solat Jemaah. Tetapi saya ditugaskan untuk memerhati, memahami, menganalisa dan membiasakan diri mengenainya. 


Saya berpeluang bertemu dengan segala jenis manusia yang rencam. Daripada top management bank terkemuka, hinggalah kepada penyiram bunga di jalanraya di Kuching. Daripada 20 pelajar paling cemerlang negara dihantar GLC ke universiti terkemuka dunia, hinggalah kepada murid paling bermasalah, bohsia dan bohjan. Daripada individu sesat yang menyembah busut dan menyepak bini jika bersolat, hinggalah kepada alim ulama yang memerlukan teknik dakwah kreatif bagi merawat kebekuan rutin mereka. 

Bagi saya, mentaliti menyertai motivasi ketika itu, DAKWAH MEMERLUKAN MOTIVASI 


Motivasi membantu menjadikan dakwah lebih berstruktur, kemas, aliran idea tidak mengganggu kognitif, dan memanfaatkan audio, visual dan segala keinsanan manusia agar menjadi reseptor yang berkesan kepada mesej dakwah. 

Alirannya, saya membaca dan mengkaji idea-idea motivasi Barat dan meneliti manakah komponen yang boleh memperkayakan dakwah. Saya telah memanfaatkan idea John C Maxwell, Stephen Covey, John Gray, Gary Chapman, pada memperkayakan dakwah dan melancarkan penyampaian mesej al-Quran dan Al-Sunnah dalam bentuk yang lebih dinamik. 

“Oh, ini cara yang lebih mudah untuk menerangkan secara praktikal pengertian SABAR” saya mencatat, selepas membaca konsep PROAKTIF yang dibentangkan oleh Covey di dalam 7 Habits beliau. 

Tapaknya masih dakwah. Modul-modul sedia ada di dalam FPSB juga diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya dan beberapa orang lagi ustaz memberikan pandangan agar penafsiran yang tidak begitu menepati makna nas, dibetulkan. Kisah yang bersumberkan Israiliyyat, ditinggalkan. Maklumat yang tidak dapat dikesan asal usulnya, dihindari. Saranan-saranan ini diterima, walaupun secara praktis, banyak kesulitan timbul, pada mengubah kebiasaan sedia ada.

MERIAH

Lama kelamaan, dakwah bermotivasi semakin menjadi in-thing. Dunia latihan dan motivasi semakin meriah. Motivasi dan dakwah semakin bersahabat dan bertindan mesra. Tanpa disedari, di celah dunia dakwah bermotivasi itu muncul idea MOTIVASI PERLUKAN DAKWAH.


Apa yang mula berlaku bukan lagi pada memperkayakan dakwah Islam dengan elemen kreatif. Sebaliknya idea motivasi yang diperkayakan dengan elemen-elemen Islam. Kita bukan mengkreatifkan dakwah dengan elemen motivasi, tetapi kita mengkreatifkan motivasi dengan elemen dakwah. 

Dakwah menjadi sub kepada motivasi. IMPLIKASI MERBAHAYA Saya terbaca di dalam majalah Nebula pada sekitar tahun 2006 atau 2007, satu contoh pemikiran memakaikan pakaian Islam kepada motivasi. Seorang penulis di dalam majalah berkenaan mengatakan bahawa Zero Mind Process wujud di dalam Islam. Beliau telah memetik hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam tentang takrif Ihsan (Hadith Jibril) untuk membuktikannya. Hadith itu asalnya berbunyi: 


Terjemahannya: 

“(Ihsan itu ialah) seperti kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya Dan jika tidak sampai kamu dapat seperti melihatnya, maka (ketahuilah / rasakanlah) bahawa sesungguhnya Allah melihat kamu” 

Tetapi penulis berkenaan telah ‘menggunting’ nas hadith ini kepada:

Yang diterjemahkan maksudnya sebagai: 

“Jika kamu menafikan wujud dirimu, nescaya kamu akan dapat melihat (kebesaran) Allah” 

Inilah dalil kepada teknik Zero Mind Process, tegas penulis tersebut. 

Semasa membaca artikel itu, saya tersentak. Mula tersedar bahawa ada golongan motivator yang melakukan jenayah terhadap nas apabila mereka mengolah nas agar sesuai dengan modul dan teknik yang mereka bawa, dalam bentuk yang langsung tidak menepati nas, malah tidak pernah sama sekali dimaksudkan begitu. 

Inilah juga yang sedang berleluasa pada masa ini. 

Arah penghasilan modul, bukan meneliti isi kandungan nas untuk mencipta modul. Sebaliknya, meneliti isi kandungn nas untuk mengukuhkan modul. Nas duduk di bawah modul, dan bukan modul duduk di bawah nas. 

Dan dicarilah para ustaz ustazah untuk bekerja menjustifikasikan keislaman modul yang dicipta oleh motivator yang mencipta modul itu jauh daripada asas Islam. Agamawan dan ahli akademik diperalatkan. Saya pandang ia ‘diperalatkan’ kerana ilmu-ilmu agama yang dikehendaki tunduk kepada epistemologi para motivator. 

Modul itu lahir bukan daripada benih Islam, tetapi diberi kad pengenalan Islam apabila berpakaian dengan pakaian Islam. Ia tidak berjiwa Islam kerana Syariah masih sub kepada motivasi.

Inilah fitnah dunia motivasi dakwah, yang menjadikan dakwah sebagai sub kepada motivasi. Bukan lagi dunia dakwah yang memanfaatkan motivasi, yang saya kenali sepuluh tahun yang lalu. Jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk sembahyang di atas kubur, ia jelas bid’ah dan mungkar. Tetapi jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk idea, metod, manhaj dan pemikiran, ‘makhluk paling Salafi’ pun mungkin terpedaya. 

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya jika pernah terjebak dalam kebejatan itu. Dan mengurniakan basirah ke jiwa sahabat-sahabat saya agar jujur dengan kesarjanaan masing-masing, bahawa adakah dalam dunia latihan hari ini, ilmu Islam sedang menggunakan teori motivasi untuk memajukan dakwah, atau sebenarnya ilmu Islam sedang dipergunakan untuk memajukan teori motivasi, kerana bisnes memang sentiasa perlu berinovasi begitu. 

Hakikatnya ia bisnes. 

Duit. 

Kapitalis. 

Periuk nasi saya sedang bertabur pasir… saya merelakannya sebelum perut saya tersumbat pasir dan tanah kubur, pada bila-bila masa nanti. 

HASRIZAL @ 43000 BSP

Sumber :

Saifulislam.Com 

BEBERAPA NOTA:

1.Perbincangan ini bukan bermaksud motivasi itu salah. Motivasi adalah satu bidang yang ada disiplinnya dan berdiri sendiri

2. Konflik timbul, apabila percubaan mengintegrasikan motivasi dengan Islam.

3. Integrasi itu tidak salah, malah mungkin perlu. Tetapi ia perlu dilakukan dengan kaedah yang betul, kerana ia menyentuh nas.

4. Masyarakat tidak perlu paranoid untuk tertanya-tanya mana satu motivasi yang betul dan tidak betul. Perbincangan ini memerlukan banyak kerja oleh motivator, pembangun modul dan pendakwah.

5. Masyarakat boleh bertenang, dan hanya perlu mengelakkan diri daripada program motivasi yang amat pelik. Apabila hati rasa program ini seperti ada sesuatu yang amat tidak kena, jangan abaikan ‘instinct’ itu. Lebih baik ia ditinggalkan, pada mematuhi hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam “tinggalkan apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu” [hadith riwayat Tirmidhi: Hasan Sahih]