January 16, 2015

Loji Nuklear : Antara Hari Ini dan Esok


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


“Dan kalau diikutkan hanya kes daripada chernobyl sahaja yang meragut nyawa di industri loji nuklear sepanjang zaman, bukankah itu sesuatu yg sangat terpencil?

"Manakala pengunaan tenaga fossil fuel dan arang batu mengorbankan lebih 20,000 orang pelombong, dan penyebab pencemaran udara, globol warming, hujan acid dan sebagainya yang juga meragut nyawa dan mudarat kekal?” – Pendapat salah satu komentar berkaitan hal loji nuklear di Malaysia.

Kita menerima dan meraih pendapat itu.

Cumanya dalam hal ini, perbandingan kes antara dua kaedah tenaga, tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk melaksanakan rancangan loji nuklear ini. – Sudah terantuk baru tengadah.



Ada satu artikel yang bermanfaat untuk perkongsian kita bersama, semoga sedikit sebanyak memberi informasi dan kesedaran berguna :

Ketika artikel ini sedang ditulis, diharapkan rakyat Malaysia sudah tahu mengenai rancangan kerajaan untuk membina 2 unit loji nuklear yang masing-masing berkapasiti 1,000 Megawatt setiap satu. Dijangka penjanaan yang pertama akan bermula menjelang tahun 2021 dan 2022 bagi loji berikutnya. Bagi mencapai ini, kedua-dua loji Nuklear akan mula dibina tahun hadapan!

Menurut Forum anjuran Anak Malaysia Anti Nuklear (AMAN) di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelan tenaga EPP-11 (Program Transformasi Ekonomi) melaporkan kos bagi 2 loji ini bernilai RM21.3 billion. 7 potensi lokasi di semenanjung Malaysia dikenal pasti untuk pembinaanya.

Menerusi maklumat daripada pembentangan Agensi Nuklear Malaysia dan Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) di peringkat antarabangsa dan seminar tempatan, pada tahun ini dijangka projek ini sudah melepasi fasa tiada keputusan berpatah balik (point of no return) dan akan memulakan projek pembinaannya.

Secara ringkasnya, hujah yang pro-Nuklear adalah tenaga nuklear merupakan sumber tenaga paling sesuai bagi Malaysia demi jaminan bekalan tenaga yang berterusan. Ini kerana sumber tenaga konvensional pada masa depan semakin tidak menentu ekoran bekalan gas, arang dan minyak yang berkurangan, ditambah dengan faktor pencemaran alam sekitar (kerajaan menandatangani perjanjian Kyoto Protocol bagi mengurangkan pelepasan karbon ke udara).

Soalnya, benarkah tiada pilihan lain?

Pasti semua masih ingat bencana Chernobyl, Three Miles Island dan baru-baru ini di Fukushima, jaminan keselamatan loji nuklear adalah amat meragukan. Ia hanya indah dari segi teori di atas kertas perancangan, namun dari segi perlaksanaannya ia tidak sebagaimana yang dihebahkan, bahkan sehingga kini masih tiada maklumat menyeluruh tentang pelan keselamatan daripada impak keseluruhan kitar hayat nuklear serta tiada lagi solusi bagi pelupusan sisa radioaktif yang mempunyai kadar radiasi kekal sehingga berpuluh ribu tahun. 

Menurut laporan BBC Future, tapak evakuasi Chernobyl yang berkeluasan 30 kilometer (radius) hanya akan selamat untuk didiami menjelang 20,000 tahun. Sisa radioaktif plutonium (spent nuclear fuel) daripada produk nuklear juga akan hanya selamat menjelang 500,000 tahun lagi. Maka tanpa ada bencana atau kemusnahan pada loji Nuklear pun, kesihatan kita akan terkesan secara kekal!

Nuklear pilihan terakhir?

Menerusi maklumat daripada bekas pegawai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang bertanggungjawab dalam menyediakan program tenaga di dalam laporan EPP-9 Program Transformasi Ekonomi, terdapat 3 langkah piramid tenaga yang perlu dilaksanakan kerajaan sebelum terus memilih nuklear. Langkah terbabit jauh lebih murah, efiksyen dan lebih bersih berbanding nuklear.

3 langkah tersebut bermula dengan program penjimatan tenaga, kecekapan tenaga dan diakhiri dengan tenaga boleh diperbaharu.

Menerusi Program Skim Penjimatan Tenaga (Energy Saving Scheme Program), program kesedaran dan meningkatkan komitmen rakyat serta pihak industri untuk merancang penggunaan elektrik secara cermat dan berhemah perlu dimulakan. Ini boleh dilakukan dengan meminimumkan masa penggunaan peralatan elektrik dan menggunakan peralatan yang tertentu pada waktu yang tertentu sahaja.  Pelaburan bagi program kesedaran secara efektif perlu diadakan dengan kerjasama konsultan-konsultan tenaga serta adaptasi Langkah Lestari (Green Practice) dan analisis Carbon Footprint di setiap premis atau rumah perlu dilaksanakan. Langkah ini hanya memerlukan kos pelaburan yang sangat minimum.

Langkah seterusnya adalah dengan perlaksanaan Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency). Ini boleh direalisasi dengan pembentukan polisi dan garis panduan (kesukarelawanan ataupun mandatori) pihak kerajaan dengan cara mewajibkan, atau menggalakkan para pengguna tenaga termasuk rakyat dan industri untuk membeli perkakasan elektrik yang cekap tenaga dan diiktiraf agensi pemiawaian yang berkelayakan. Misalnya penggunaan peti sejuk dan penghawa dingin yang mempunyai standard 5 bintang, televisyen LED yang jimat tenaga dan sebagainya. Malah, Ini boleh dijadikan industri baru yang boleh menambah GDP negara dan melahirkan ramai kontraktor-kontraktor untuk perlaksanaannya!

Sekaligus, peralatan tersebut mampu menggunakan kadar tenaga yang minimum berbanding peralatan elektrik konvensional. Program ini juga mampu realisasikan dengan pemberian insentif, rebat dan pengurangan cukai tertentu kepada industri yang menggunakan peralatan elektrik yang cekap tenaga.  Pakar Tenaga daripada KeTTHA membuat analisa jika kita berjaya memaksimakan program ini dgn hanya pelaburan sebanyak RM 1 billion selama tempoh 10 tahun, kita mampu jimat sehingga 3,000 Megawatt, yakni bersamaan dgn kapasiti 3 loji nuklear!

Disamping memaksimukan Penjimatan Tenaga dan Kecekapan Tenaga, kerajaan perlu menambah focus stesyen-stesyen janakuasa tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, biojisim, angin, ombak, jalanraya, hidroelektrik dan sebagainya.

Tenaga diperbaharu juga mampu dilaksanakan jauh lebih berkesan dengan perlaksanaan transisi kepada penjanaan elektrik secara skala kecil berdaerah (localized-production) daripada terus bergantung kepada penjanaan berpusat (central-grid system).

Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu Tenaga Masa Hadapan

Bilion ringgit mampu dilaburkan kerajaan demi pelbagai program kompleks bagi merangka dasar, polisi dan perancangan strategik buat nuklear, mengapa berliat untuk agenda piramid tenaga ini?

Pihak pro-nuklear sering mengatakan hujah bekalan tenaga di negara ini sudah sampai ke tahap genting dalam masa 10 tahun yang akan datang di mana kita tidak mempunyai pilihan sumber tenaga yang lain selain daripada bertukar kepada nuklear.

Soalnya, pengurusan penggunaan tenaga pun masih tidak dimaksimakan sebaik mungkin, mengapa kita mengambil jalan yang singkat tetapi berisiko untuk memudahkan kerja kita tetapi menghiraukan mudarat lain yang lebih besar?

Hakikatnya, walaupun Malaysia antara negara terbaik dalam membekalkan tenaga menyeluruh keseluruh negara, namun dari segi pembaziran tenaga kita adalah yang terburuk di Asia Tenggara dan prestasi penggunaan tenaga kita hanya setaraf dengan Timor Leste yang baru sahaja merdeka 10 tahun yang lalu.

Benar, Malaysia negara paling membazir elektrik di Asia Tenggara!

Program Piramid Tenaga ini adalah potensi yang sangat bagus bagi perancangan tenaga negara dan perlu diambil kira semula kerajaan sebelum membuat apa-apa keputusan yang memudaratkan rakyat. Program ini adalah langkah yang sangat lestari, hanya memerlukan kos yang sedikit dan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat, bukan sahaja dari segi kecekapan tenaga dan kos, tetapi juga manfaat kepada alam sekitar seperti pengurangan gas rumah hijau dan pembaziran tenaga.

Komitmen yang bersungguh-sungguh perlu diambil semua pihak. Kerajaan perlu sediakan skim dan pelan yang efektif bagi memudahkan rakyat untuk transisi kepada teknologi tenaga cekap serta meningkatkan kesedaran kepada rakyat untuk berhemah dalam penggunaan tenaga.

Yang lebih penting, segala keputusan haruslah memberikan manfaat keseluruhan kepada rakyat, bukan hanya manfaat kewangan sahaja terutamanya kepada pihak pelobi tenaga dan pelabur tertentu.


Demi masa hadapan anak bangsa, 

Ayuh sebarkan kesedaran mengenai tenaga kepada semua! 

Hafizudin Nasarudin 
(Penulis merupakan aktivis Anak Malaysia Anti Nuklear )
(AMAN)