February 4, 2015

Pendidikan Adalah Proses Mengadabkan Insan : Sistem Gagalis


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Budaya maki hamun dalam kalangan pelajar hari ini mungkin bukan hal yang mengejutkan, tapi cukup mengejutkan akal yang berfikir bahawa semakin lenyap fungsi sebenar sebuah 'sekolah'. Apakah sekolah yang wujud sama ada swasta atau kerajaan hari ini tidak cukup mengajar erti etika yang baik, akhlak yang murni, atau kerana pendidikan islam itu masanya hanya 2 jam, tidak mampu untuk memberi lebih pendedahan?

Banyak juga persoalan bermain.

Pernah ditanya dan bertanya :

Mana yang perlu membentuk masyarakat? Pilihan anda salah satu sahaja?

1.      Membentuk Individu yang baik
2.      Membentuk sistem yang baik.

Mungkin ada antara kita memilih untuk membentuk individu yang baik menjadi keutamaan, dan mungkin juga ada yang memilih membentuk sistem yang baiklebih penting. Perbezaan pendapat itu wujud, dan wajar diraih. Membawa segala keadaan itu dinilai secara serius dan solusi.

Jika kita selongkar sejarah dan sirah para anbiya, kita akan temui dua perkara 

1.      Mengajak kepada agama islam (  Sistem yang Baik )
2.      Mendorong manusia melakukan ma’aruf dan jauhi mungkar ( Individu yang Baik )

Adanya para nabi a.s itu dibentuk dengan sistem dan acuan menurut pengetahuan Allah s.w.t sehingga mampu membawa agama islam ini kepada individu agar ia menjadi individu yang baik. Allah s.w.t menyiapkan satu sistem atau ad deen (cara hidup) kepada manusia yang cukup sempurna wahyu tersebut. Tugas para rasul dan nabi tadi membawa ajaran agama yang telah disistemkan oleh Allah azza wajalla. Agama ini menjadi sempurna dengan gerak kerja yang rasul s.a.w telah lakukan hingga akhir hayatnya.

Bertitik tolak dari itu,  kepentingan sistem itu teramat penting.

Maka sistem yang baik menjadi punca utama kewujudan individu yang baik.

Dalam sesebuah negara – sistem pendidikan itu memainkan peranan penting. Sistem yang ada hari ini mungkin saja kita boleh kira berjaya dengan rekod atau track cemerlang dalam subjek-subjek yang diambil pelajar. Tetapi hari ini, ianya telah memasuki fasa baru dalam globalisasi dunia bahawa gred, cgpa, kedudukan dalam kelas menjadi tumpuan dan buruan utama ke sekolah berbanding perihal mendidik individu itu berkelakuan sewajarnya menurut pembelajaran subjek yang dimasukkan dengan nilai-nilai kehidupan yang baik.


Ianya lari dari tujuan sebenar pendidikan

Mematlamatkan semula bahawa seorang pelajar sekolah, datang bukan hanya belajar silibus subjek disekolah, juga harus mempelajari silibus subjek kehidupan.

Pergi sekolah, hadap buku, hadap guru, ambil ujian peperiksaan, dapat keputusan dan begitulah sistem ini berputar dan terus berputar. Rekod demi rekod kejayaan dicipta, itu tidak termasuk rekod jenayah dan salah laku pelajar didalam dan luar sekolah.

ADDABA dan TAADIBI

Sabda Rasul s.a.w dalam hadis, mafhumnya ‘ ya Allah didiklah aku dengan didikan yang terbaik’.

Hadis ini memberi kita dua ‘point’ yang amat penting dalam proses didik iaitu :

addaba dan taadibi.

Maksud pendidikan dalam konteks pendidikan islam ialah mengadabkan insan. Proses mengadabkan insan dirujuk kepada taadib iaitu faktor dalaman diri manusia yang juga disebut sebagai hati. Dalam situasi disekolah ianya berkait rapat mengadabkan pelajar.

Kita tidak punya banyak masa jika wawasan 2020 itu impian yang ingin dilaksana, juga tiada jalan singkat untuk masyarakat kita hari ini mencapai kemajuan melainkan adanya persiapan rapi dan kukuh dalam membangun modal insan.

Pendidikan yang dihubungkan sebagai proses mengadabkan pelajar tadi melalui pendekatan integrative dalam pengajaran dan pembelajaran bakal menghasilkan insan holistik atau pelajar holistic yang selari dengan asas tasawwur atau worldwide yang betul iaitu menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis.

Ilmuwan Islam memberikan maksud adab itu sebagai disiplin minda, hati, dan amal. Minda atau akal fikir manusia memerlukan disiplin supaya apa yang difikir, bahan yang dibaca dan idea-idea yang dijana sentiasa memberi manfaat yang berguna. – Sidek Baba, Tajdid Ilmu dan Pendidikan.

Pemikiran yang terhasil daripada disiplin berfikir dang bercakap yang baik bakal menatijahkan akal budi yang tinggi.

Adab juga menyentuh tentang pentingnya disiplin hati bagi seseorang manusia, sebagaimana pentingnya disiplin disesebuah sekolah.

Disiplin hati adalah faktor utama agar dalaman diri manusia lebih kukuh untuk menghasilkan amal yang baik.

Oleh itu, makna pendidikan bukan sekadar suatu proses bagaimana pemindahan maklumat data dan fakta berlaku, tetapi ia menyentuh bagaimana proses transformasi berjalan. 

Ilmu yang benar dan disampaikan dengan kaedah yang salah tidak akan menjadi.

Ilmu yang benar dan disampaikan dengan kaedah yang baik sebaliknya yang bakal mencetuskan perubahan terhadap minda, sikap, dan amal. Ini sistem yang sehat.

Intelligence plus character-that is the goal of true education.
― Martin Luther King Jr.

Proses pengilmuan dan pengajaran sewajarnya menjadi nilai tambah kepada manusiawi atau pelajar itu sendiri. Faktor-faktor manusiawi atau pelajar itu seperti etika yang baik, akhlak yang mulia, peribadi teladan, ilmu yang bermanfaat, keterampilan yang berguna, percakapan yang benar dan ikhlas adalah asas kepada proses pendidikan atau pembinaan tamadun hari ini dan akan datang.

Sekiranya asas-asas ini diabaikan dalam proses globalisasi, kesannya terhadap faktor manusia atau pelajar itu adalah besar.

True education is concerned not only with subject goals but also with values. Our aims assure us of our material life, our values make possible our spiritual life.

Bersekolah dengan akal yang sihat.

Saya bicara dari jalanan 

Wallahu'alam