August 1, 2015

GHB bukan AKP : Satu Laluan yang Sama


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apa itu GHB?

Kalian bisa membacanya atau mencari di ruangan google. 

Saya tergerak komen balas dari post' seorang sahabat 3 minggu yang lepas berkaitan GHB dan dia mengatakan perpecahan itu adalah azab.


Kemudian dalam komen tersebut saya membawakan contoh perpecahan di turki yang berlaku terhadap parti Refah pimpinan Prof Erbakan selepas pengharamannya pada februari 1997 yang kemudiannya melahirkan parti baru AKP pimpinan Erdogan dan Abdullah Gul. Bahkan Ikhwanul muslimin sendiri mengalami perpecahan yang dasyat. 

Isi kandungan yang di'post' oleh sahabat itu bagi saya tidak sepatutnya, apatah lagi mengaitkan perpecahan dan kehadiran GHB menoreh luka ummat islam. Sebenarnya yang saya nak katakan disitu bahawa tidak selamanya perpecahan itu adalah azab atau dalam kata lainnya perpecahan adalah azab yang bersifat mutlak.

Kita harus bersangka baik pada ummat ini, kerana yang demikian berprasangka buruk itulah yang akhirnya membawa kepada perpecahan yang melahirkan azab.

Saya membaca dari pelbagai sudut dan pandangan tentang kehadiran parti politik GHB ini. Kalah, kecewa itu antara alasan yang dikemukan, bukan oleh mereka yang kini dalam GHB tapi oleh mereka yang didalam PAS. Bagi saya, kalaupun mereka menang, dapat jawatan tetapi agenda pembaikan dan menutupi lompang parti tersekat dek kerana mereka dianggap Anwarinas, IRC agent, JIM agent, Ikram agent, Barua DAP, juga tidak bermakna untuk disimpan dan menyimpan diri. Maka seeloknya adalah kalah.

Mungkin saja yang terjadi adalah hasil pertembungan antara progresif dan konservatif. Jika yang demikian, parti Refah di Turki juga pernah menghadapi isu yang sama iaitu pemecahan blok konservatif dan progresif. Bukan kerana kita mengambil suasana sekulernya turki ketika itu, tetapi tidak sependapat dan sepandangan dalam beberapa hal yang dilakukan oleh Erbakan menurut Erdogan dan Abdullah Gul selain keadaan Refah yang jelas ditekan oleh kuasa tentera. Perpecahan setelah Refah diharamkan oleh regim tentera pada tahun 1997, parti Fazilet ditubuhkan sebagai platform sementara untuk mengantikan parti Refah tersebut.

Kemudian, parti tersebut berpecah secara total kepada dua kumpulan. Kumpulan konservatif yang dipimpin oleh Necmetin Erbakan menubuhkan parti Saadat, manakala kumpulan progresif yang dipimpin oleh Erdogan dan Abdullah Gul menubuhkan parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sekarang AKP adalah parti pemerintah Turki sejak sepuluh tahun yang lalu, Sejak pengistiyharan Erdogan dan Abdullah Gul keluar dari Fazilet' maka ramai yang mengandaikan bahawa Erdogan khianat kepada parti Islam turki juga boneka kepada Amerika serta Barua Mustafa Kamal. Akhirnya Erbakan membuat keputusan yang mengejutkan semua pihak ketika itu (Boleh baca Artikel Necmettin Erbakan : Pengorbanan yang Ganjil untuk mengetahui lebih lanjut tindakan Prof Erbakan). Adapun berkaitan polisi atau dasar luar Turki yang terikat dengan Nato itu kerana mengambil kira dan menjaga kepentingan umum ummah khasny Turki di masa depan. Maka tidak benarlah jika kita mengatakan bahawa perpecahan sinonim melahirkan azab melainkan terselit dibalik perpecahan itu atas beberapa perkara dan harapan menuju penyatuan masa depan.

Kita mengakui bahawa suasana ambiance politik Turki dan Malaysia itu cukup berbeza lantaran sekularnya Turki dan diiktiraf keislamannya negara malaysia kerana majoriti ummat islam. Tetapi Garis politik perubahan keduanya dalam laluan yang sama, walaupun Malaysia terlebih dahulu Islam berbanding turki yang dihujani sekular. Apa pun, hikmat siasah di turki itu patut kita ambil bukan mengenepikan secara sombong. Sedia maklum, suasana politik hari ini cukup ranum untuk menyambut kehadiran parti baru sebagaimana yang berlaku kepada AKP di Turki ketika Refah ditenggelami dengan agenda keislaman parti dan idelogi mereka. Tetap juga kita katakan bahawa GHB bukan AKP tapi mereka dari laluan alternatif yang sama. 

Masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang GHB, mungkin saja GHB tidak akan menang besar pilihanraya yang bakal tiba tetapi mengukuhkan saaf perjuangan islam masa depan kiranya PAS suatu hari nanti secara semulajadi terkubur dalam arena politik malaysia. Pada hemat saya, PAS seharusnya meraih kehadiran GHB secara tidak langsung walau punya peluru dan hujjah yang banyak untuk membidas kehadiran parti politik baru itu nanti.

Kita mendoakan kehadiran PR 2.0 tanpa atau ada PAS, agenda membaik pulih negara dan kembali mensejahterakan rakyat adalah yang utama dari misi dan visi parti. 

Kita bukan hanya perlukan tafsiran agama bahkan tafsiran politik semasa itu juga penting dalam membentuk sebuah kerajaan yang dinamik dan holistik.

Khalifah pada memakmurkan bumi dan negara.

Istiqamah menurut Tuhan

Harapan Selalu Ada.

Azrialfateh.
Pemerhati Politik Anak Muda Malaysia
Pencinta Politik Turki