October 3, 2015

Review Buku 'Api Tauhid' : Selami Turki dan Buah Perjuangan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Cinta' itulah kesan pertama usai membaca novel pembangun jiwa karya Habiburrahman El-Shirazy atau biasa kami sapa dengan panggilan 'Kang Abik'

Sesuai dengan titlenya 'novel pembangun jiwa.

Novel setebal 573 muka surat, adalah tentang kisah dan perjalanan tokoh hebat yang telah merubah wajah dan pentas politik Turki, bahkan Dunia. Menghafal lebih 80 kitab diusia belahan tahun, itu bukan nikmat tapi anugerah. Dialah Badiuzzaman said nursi. digelar Badiuzzaman (keajaiban zaman) yang dimilikinya, juga dibalik buku ini juga tentang perihal bangun dan jatuhnya Khilafah terakhir ummat Islam yakni turki uthmaniyyah, sekaligus keruntuhan yang memberi kesan merubah landskap peta politik dunia hari ini.



Saya jujur antara peminat sejarah.

Juga miliki sahabat yang tidak cinta akan sejarah, tapi 'peliknya' sering menyebut dan mengeluarkan huraian sejarah. Mungkin kerana traumatik dengan pembelajaran sejarah di sekolah menengah dengan suasana yang kusam, muram, wajah cikgu yang mengajar juga dengan wajah sejarah, hingga berjaya membuatkan kita hampir tidur lena semasa dibangku sekolah.

bukan pecinta sejarah tak menghalang seseorang untuk menikmati cerita.

Berbalik kepada novel Api Tauhid.

Novel ini menghidangkan perjalanan dan pengembaraan enam pemuda, Fahmi, Subki, Hamza, Aysel, Emel, dan Bilal didalam menjejaki setiap inci perihal perjuangan dan hidup Said Nursi. Juga kisah kesucian cinta antara Fahmi dan Nuzula yang mendambakan kesucian cinta seperti ayah dan ibunya Said Nursi.

Saya mengenal Said Nursi sejak dibangku mahasiswa, ketika itu mengenali saja dan masih belum wujud cinta secara harfiah.

Membaca novel Api Tauhid, jujur ! bakal mengisi lembaran sejarah yang lompang pada pengetahuan kita. Tentang 'jika ada Khalifah Ar Rasyidin yang kelima, maka dia adalah Umar abdul aziz' kemudian sejarah berjalan dan berganti khalifah bermula Abbasiyyah, Umaiyyah hingga runtuh sebenar-benarnya kekhalifahan islam. 

Dalam novel ini, anda akan bertemu dengan sosok peran utama siri kejatuhan kekhalifahan uthmaniyyah, iaitu Mustafa kemal Attarturk. Tapi pada pandangan saya, Kekhalifahan uthmaniyyah juga saat itu punya sebab tersendiri akan kejatuhan dan kegagalan selepas memerintah dalam satu tempoh yang panjang.

Api Tauhid membawa kita merasa kembali kegetiran serta keresahan seorang said muda. suasana yang tidak seimbang politik dan polemik kuasa dunia ketika itu. Tahun-tahun sebelum kejatuhan Uthmaniyyah saat Tanah melayu, Sabah dan Sarawak masih dalam genggaman penjajah.

Siasah, Agama dan kenegaraan.

Bagi saya, said nursi punya pandnagan jauh dalam soal membangun negara dan ummat islam. bermula dengan kesedaran kepada ilmu, membaca ayat-ayat Tuhan, membangunkan kesedaran, mengajak masyarakat untuk meninggalkan apa yang mudharat bagi diri mereka dan mengambil kebaikan dari sisi dan rahmat Islam. Cadangan beliau untuk mendirikan madrasah yang bukan saja mengetengahkan ilmu islam bahkan ilmu keduniaan. Sosialogi, Fizik, Biologi dll.

Setelah beberapa ketika, melalui liku-liku penjara serta episod kekejaman rejim Turki keatas beliau juga kezaliman terhadap islam, ketika pelbagai larangan dan penutupan institusi terkait islam dilaksanakan, pada masa yang juga Risalah an Nur mula menapak kukuh dan pengikut yang ramai sehinggalah satu masa said Nursi memilih untuk lebih dekat perhatiannya kepada urusan sosial dan siasah. 

Said Nursi terkait langsung dengan Parti Demokrat pada 1950, saat itu Said Nursi mendukung Adnan Manderes untuk mencalonkan diri sebagai pemimpin, kerana melalui sisi pandang beliau ia punya maslahat besar buat ummah. Penglibatannya Said Nursi hanya dalam bentuk dukungan dan beberapa nasihat serta pandnagan, kerana beliau lebih memilih kaedah siasah 'yang terbaik diantara  yang terburuk'. Tujuan Said Nursi mendukung adalah untuk mencegah kemudharatan yang lebih besar saat itu iaitu rejim bapak sekuler ateis CHP dari kembali berkuasa.

Dan dengan izin ilahi dan strategi dari Adnan Manderes, akhirnya Adnan menang sebagi pemimpin dan dilantik sebagi Perdana Menteri. Celal Bayar dilantik sebagi presiden menggantikkan Inonu' presiden sekuler yang kejam. maka dari kemenangan itu, hal hal berkait ibadah dan islam dilegalkn kembali dalam waktu-waktu pemerintahan baru Adnan manderes, tapi satu hal yang belum tamat adalah rejim sekuler (tahap dewa) tidak pernah duduk diam sehingga saat ini AKP memerintah di Turki.

Kebijakan tindakan dan pemikiran Said Nursi atau Badiuzzaman Said Nursi patut menjadi contoh dan diambil Ibrah kepada pemimpin masa depan. Buah perjuangan yang segar hingga merubah Turki apa adanya, perjuangan adalah dengan menyebarkan kebaikan dan rahmat untuk sesiapun. 

Sememangnya karya kang abik kali ini lain dari yang lain, spirit kisah didalamnya, InsyaAllah bakal memberi inspirasi baru bagi pembaca.

Sebuah bacaan yang layak untuk dibedah'

Agar kita nikmati setiap detik indah

Islam dan sejarah

Allahu'alam.